TUMPAT: Doa kedua ibu bapa serta guru-guru selain kerja keras menjadi kunci kejayaan buat Aina Sofiya Azmi, 18, apabila meraih keputusan 11A+ pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang diumumkan semalam.
Lebih manis, kejayaan Aina Sofiya Azmi, 18, bukan sahaja membanggakan keluarga, malah menamatkan penantian 11 tahun Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Falahiah, Pasir Pekan untuk kembali melakar rekod cemerlang berkenaan.
Aina Sofiya mengakui terkejut apabila dimaklumkan mengenai keputusan itu melalui panggilan telefon daripada gurunya pada pukul 9 pagi.
“Memang terkejut dan rasa tidak percaya, tetapi saya bersyukur kerana dapat memenuhi harapan ibu bapa dan guru-guru.
“Sasaran itu sebenarnya sudah lama menjadi impian saya, malah sering diingatkan oleh cikgu-cikgu,” katanya ketika ditemui di SMKA Falahiah, semalam
Menurut anak ketujuh daripada lapan beradik itu, kejayaan tersebut bukan datang sekelip mata, sebaliknya hasil usaha berterusan sejak Tingkatan Empat serta disiplin tinggi mengikuti setiap program kecemerlangan yang dirancang pihak sekolah.
Katanya, selain kerja keras, kekuatan doa serta hubungan baik dengan ibu bapa, keluarga dan guru menjadi faktor utama yang mendorong kejayaannya.
“Saya sentiasa fokus sepenuhnya ketika belajar di dalam kelas supaya tidak terlalu tertekan di rumah.
“Apabila hampir peperiksaan, saya akan gandakan usaha dengan ulang kaji pada waktu malam dan awal pagi, terutama bagi subjek hafalan seperti Sejarah,” ujarnya.
Tambahnya, pengurusan masa yang baik membolehkannya menyeimbangkan pembelajaran dan rehat sekali gus mengelakkan tekanan sepanjang tempoh persediaan menghadapi peperiksaan.
Berasal dari Kampung Semat Jal, di sini, Aina Sofiya turut memasang impian untuk mengikut jejak langkah kedua ibu bapanya sebagai pendidik.
Sementara itu, bapanya, Azmi Ali, 60, berkata, kejayaan anaknya itu hasil disiplin tinggi dalam mengurus masa sehingga tidak pernah berdepan tekanan ketika berada di rumah. – UTUSAN










