KOTA BHARU: Peningkatan bantuan diesel daripada RM300 kepada RM400 sebulan membantu meringankan beban pesawah, namun jumlah itu belum mencukupi khususnya bagi mereka yang memiliki jentera sendiri.
Seorang pesawah, Tamlikhan Mohd. Resdi, 43, berkata, walaupun bantuan tersebut memberi sedikit kelegaan dalam menghadapi kenaikan kos operasi, ia tidak mampu menampung penggunaan diesel yang tinggi sepanjang musim membajak.
Katanya, jumlah RM400 sebulan hanya mencukupi untuk kegunaan kira-kira sehari sedangkan kerja pembajakan tidak dapat disiapkan dalam tempoh singkat.
“Kalau ada jentera sendiri, penggunaan diesel memang tinggi. RM400 itu cukup sehari sahaja, sedangkan membajak ambil masa lama.
“Tempoh membajak sawah boleh mengambil masa antara satu hingga dua bulan bergantung kepada keluasan kawasan, sekali gus meningkatkan lagi keperluan bahan api,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.
Tamlikhan berkata, Insentif Pembajakan kepada Pesawah (IPKP) bagi musim penanaman 2026 dijangka hanya diterima pada musim seterusnya.
Katanya, perkara itu telah dimaklumkan kepada pesawah dan mereka diminta bersabar sementara menunggu penyaluran bantuan berkenaan.
“Insentif pembajakan itu akan dapat tetapi untuk musim depan,” katanya.
Kerajaan mengumumkan langkah tambahan bagi meringankan beban rakyat termasuk menaikkan bantuan kepada pengguna diesel di samping menambah insentif membajak sawah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia membabitkan tiga ikhtiar iaitu BUDI Agri-Komoditi, BUDI Diesel Individu dan IPKP.
Katanya, ia membabitkan kos keseluruhan RM75 juta dengan IPKP diberikan tambahan dana sekitar RM40 juta bagi musim penanaman 2026 yang bakal memanfaatkan 200,000 pesawah yang sebahagiannya akan memulakan penanaman padi pada bulan ini. – UTUSAN










