Warga Indonesia mula 'mudik lebaran' sempena Aidilfitri

Warga Indonesia mula ‘mudik lebaran’ sempena Aidilfitri

WARGA Indonesia mula 'mudik lebaran' dengan menaiki feri di Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour, Iskandar Puteri, Johor sempena sambutan perayaan Aidilfitri yang bakal disambut tidak lama lagi. - UTUSAN/BAAZLAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour di sini bakal menyaksikan peningkatan sehingga dua kali ganda jumlah penumpang harian susulan perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.

Senior Eksekutif Operasi terminal itu, Muhammad Eizaz Irfan Shaifuddin berkata, pihaknya menjangka peningkatan sehingga 1,500 penumpang harian berbanding sekitar 700 penumpang pada hari biasa.

Katanya, peningkatan itu sudah bermula sejak awal Ramadan dan akan terus meningkat sehingga hari terakhir sebelum Aidilfitri.

“Ini operasi biasa di sini, setiap kali Ramadan dan Aidilfitri, jumlah penumpang akan meningkat lebih dua kali ganda. Jumlah slot feri juga akan ditambah bergantung kepada permintaan yang diterima operator.

“Terminal di sini menyediakan lima slot pergi balik ke Harbour Bay, Batam dan tiga slot pergi balik Tanjung Balai, Karimun. Feri paling awal pada pukul 7.30 pagi, manakala feri terakhir pada pukul 6.30 petang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambah Muhammad Eizaz, terminal itu telah menyaksikan peningkatan jumlah penumpang ketara berbanding tahun pertama beroperasi iaitu anggaran seramai 6,000 penumpang pada tahun 2013 berbanding lebih 400,000 penumpang tahun lalu.

Sementara itu, seorang warga Indonesia, Desi Gustiarni, 37, berkata, dia akan pulang ke kampung halamannya di Tanjung Balai untuk meraikan Aidilfitri bersama ahli keluarga selama kira-kira seminggu.

“Saya bekerja di kawasan Tebrau, Johor Bahru sejak tiga tahun lalu. Saya telah ambil cuti dan akan pulang ke kampung halaman hari ini, pulang awal untuk bantu persiapan menyambut Aidilfitri bersama keluarga,” kata ibu kepada tiga cahaya mata itu.

Seorang lagi warga Indonesia, Funas, 44, pula memberitahu, dia berhijrah ke Malaysia dan bekerja sebagai kontraktor membina rumah di Ipoh sejak kira-kira enam tahun lalu.

“Saya mahu pulang bercuti Aidilfitri, jumpa ibu dan keluarga lain. Abang sulung saya juga sedang sakit, jadi saya ambil peluang ini untuk bertemu dan menziarahinya. Mungkin saya akan cuti lama sikit sebelum kembali ke Ipoh,” katanya yang masih bujang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×