Lelaki Indonesia ditahan sembunyikan kelahiran bayi

Lelaki Indonesia ditahan sembunyikan kelahiran bayi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

SEREMBAN: Seorang  lelaki warga Indonesia ditahan susulan kes menyembunyikan kelahiran bayi dan ditanam tanpa dilaporkan kepada pihak berkuasa di Kampung Lambar, Labu, Nilai, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Johari Yahya berkata, penahanan lelaki berusia 31 tahun itu dibuat susulan siasatan kes membabitkan seorang wanita senegaranya yang berusia 39 tahun yang mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) kerana mengalami sukar bernafas serta pendarahan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati wanita berkenaan mengalami komplikasi selepas melahirkan anak kembar di rumah tanpa rawatan perubatan.

“Hasil siasatan awal mendapati bayi tersebut dilahirkan di rumah pada 3 April sekitar pukul 9 malam dan telah meninggal dunia ketika disambut oleh seorang bidan warganegara Indonesia.

“Mayat bayi lelaki itu kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pulau pada 4 April lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Johari berkata, suspek iaitu bapa kepada bayi tersebut tidak membuat laporan polis serta permit kerana dimaklumkan oleh penggali kubur bahawa bayi yang meninggal dunia dalam kandungan boleh terus dikebumikan.

“Bertindak atas maklumat itu, polis bersama Bahagian D10 Forensik Kontinjen Negeri Sembilan telah menjalankan operasi menggali semula mayat bayi tersebut untuk siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, mayat bayi tersebut kemudian dibawa ke Hospital Rembau bagi proses bedah siasatan yang akan dijalankan esok bagi mengenal pasti punca kematian serta status kelahiran.

Sehubungan itu, kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan tujuan melupuskan mayat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN