
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin dilihat masih merangka hala tuju politiknya selepas memberi bayangan akan mengumumkan ‘kenderaan’ politik baharu sejurus selepas sambutan Aidilfitri, susulan pemecatan beliau daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Perkembangan itu membuka pelbagai spekulasi mengenai langkah seterusnya pemimpin berpengalaman ini dalam memastikan kelangsungan karier politiknya menjelang Pilihan Raya Umum akan datang.
Antara pilihan awal pernah dikaitkan dengannya ialah menerajui Parti Keluarga Malaysia, seperti disahkan pengasasnya, Khairi Jaya. Namun, usaha itu difahamkan berdepan kekangan prosedur termasuk keperluan mendapatkan kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang mengambil masa dan melalui proses penilaian ketat.
Dalam kalangan pemerhati politik, berlegar spekulasi mengenai kemungkinan beliau kembali ke pangkuan UMNO, namun perkara itu dinafikan oleh Hamzah, sekali gus menutup pintu kepada kemungkinan berkenaan.
Terbaharu, muncul satu pendekatan dilihat lebih praktikal dan pantas iaitu mengambil alih atau menerajui parti sedia ada yang telah berdaftar.
Langkah ini dikatakan mampu mempercepatkan proses penyusunan semula struktur kepimpinan tanpa perlu melalui fasa penubuhan parti baharu yang rumit dan memakan masa.
Pendekatan tersebut turut dilihat memberi kelebihan dari segi kelancaran gerak kerja politik, selain mengurangkan risiko birokrasi serta ketidaktentuan yang lazimnya membelenggu parti baharu.
Pada masa yang sama, penggunaan platform sedia ada membolehkan rombakan kepimpinan dilakukan dengan lebih tersusun, termasuk penstrukturan semula peranan di peringkat tertinggi parti bagi memperkukuh jentera politik.
Perkembangan ini turut memberi isyarat wujudnya pergerakan politik yang lebih tersusun, sekali gus memberi tekanan kepada kepimpinan Bersatu yang kini diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dalam masa sama, ia juga menjadi perhatian dalam kalangan Pas sama ada terus kekal dengan jajaran sedia ada atau membuka ruang kerjasama baharu.
Apa jua keputusan yang bakal diambil, ia dilihat bakal memberi kesan kepada landskap politik negara menjelang PRU akan datang, khususnya dalam menentukan keseimbangan kuasa dalam blok pembangkang. – UTUSAN










