Tambahan cuti Aidilfitri hargai kerja kuat rakyat – PM

Tambahan cuti Aidilfitri hargai kerja kuat rakyat – PM

Pengunjung mengambil peluang berswafoto bersama Anwar Ibrahim pada Majlis Perasmian Hari Pengguna Kebangsaan 2026 di Kota Kinabalu, Sabah, semalam. – PEJABAT PERDANA MENTERI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cuti tambahan akan diberikan pada Isnin sekiranya Hari Raya Aidilfitri jatuh pada hari Jumaat.

Katanya, cuti tambahan akan diberikan pada Jumaat ji­ka Aidilfitri jatuh pada hari Sabtu.

Menurutnya, hari cuti tambahan itu diberikan sebagai penghargaan kepada rakyat yang sudah bekerja kuat sepanjang bulan Ramadan.

“Semua orang waktu bekerja tambahan, dedikasi tambahan dan usaha tambahan.

“Jadi kita berikan ganjaran de­ngan memberikan cuti tam­bahan. Sesiapa yang tidak ada usaha tambahan, anda masih mempunyai beberapa hari lagi. Tolong usaha lebih agar anda layak untuk cuti tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ke­­tika berucap dalam Majlis Pe­­rasmian Hari Pengguna Kebangsaan (HPK) 2026 di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Perda­gangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali; Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Fuziah Salleh dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Aidilfitri telah berkuat kuasa semalam hingga 28 Mac ini.

Katanya, pelaksanaan skim tersebut bertujuan memastikan harga barangan kekal berpatutan sepanjang musim perayaan.

“Semoga inisiatif ini dapat membantu meringankan kos sara hidup rakyat selain memudahkan perjalanan pulang ke kampung halaman.

“Semoga Syawal yang bakal tiba membawa lebih kebahagiaan, keberkatan dan kese­jahteraan buat seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Sementara itu, bercakap me­ngenai subsidi diesel di Sabah dan Sarawak, Anwar berkata, Ke­rajaan Persekutuan dijangka menanggung subsidi sehingga RM4.6 bilion pada tahun ini.

Katanya, ia susulan lonjakan harga minyak dunia akibat ketidaktentuan geopolitik khususnya konflik yang melanda Asia Barat ketika ini.

Menurutnya, jumlah terbabit meningkat berbanding sekitar RM2 bilion yang ditanggung bagi subsidi diesel di dua ne­geri terbabit pada tahun lepas.

Beliau berkata, subsidi tersebut perlu ditanggung kerajaan bagi memastikan rakyat Sabah dan Sarawak tidak terbeban dengan kenaikan harga bahan api kesan kenaikan harga mi­nyak dunia, buat masa ini.

“Jumlah subsidi diesel untuk Sabah dan Sarawak pada tahun lalu adalah sebanyak RM2 bi­lion, namun setakat ini kerajaan Persekutuan dijangka menanggung sekitar RM4.6 bi­lion pada tahun ini.

“Subsidi ini bukan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), bukan projek pembangunan sekolah, tetapi ini bagi memastikan rakyat Sabah dan Sarawak tidak terbeban dengan kenaikan harga bahan api,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN