KUANTAN: Sungai Lembing, pekan lama yang pernah digelar ‘El Dorado Malaysia’ kini makin sunyi dan hilang seri khususnya sebagai sebuah destinasi pelancongan.
Suasana di situ yang dahulunya meriah dengan pengunjung kini bertukar muram seolah-olah pekan bersejarah ini sedang ‘mati’ perlahan-lahan.
Kemerosotan ekonomi penduduk, infrastruktur pelancongan yang uzur dan penghijrahan anak muda menjadikan Sungai Lembing semakin jauh daripada radar pelancongan negara.
Warisan perlombongan bijih timah yang pernah mengangkat nama kawasan ini kini sekadar tinggal sejarah tanpa dimanfaatkan sepenuhnya.
LOMBONG DITUTUP, PENGALAMAN HILANG
Tarikan utama Sungai Lembing suatu ketika dahulu ialah pengalaman memasuki lombong bijih timah yang unik dan penuh sejarah.
Namun penutupan lombong sejak tahun 2021 lalu akibat insiden runtuhan memberikan kesan besar terhadap daya tarikannya.
Seorang pengunjung, Siti Rokiah Kadir, 36, mengakui pulang dengan rasa kecewa kerana anaknya tidak dapat merasai pengalaman sebenar seperti generasi terdahulu.
“Saya datang ke sini kerana hendak anak saya lihat sendiri pekerjaan datuknya dahulu sebagai pelombong tapi sekarang tidak ada pengalaman sebenar yang boleh dikongsi. Rasa agak kecewa.
“Sekarang hanya boleh ke Muzium Sungai Lembing, tengok gambar sahaja. Kurang interaktif, kurang keterujaan,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

PEKAN SEMAKIN SURAM
Perubahan ketara turut dirasai seorang lagi pengunjung, Azri A. Latip, 36, yang terkejut melihat suasana pekan itu yang semakin suram.
“Dulu kawasan ini meriah dengan pengunjung tetapi kali ini sunyi. Banyak kedai tutup malah kedai runcit pun hanya tinggal beberapa sahaja. Kedai makan pun susah hendak jumpa walaupun ini musim cuti sekolah dan perayaan,” katanya.
Tambahnya, selepas lebih sejam di kawasan itu, dia mula faham punca keadaan tersebut.
“Rupanya tarikan utama sudah tiada. Bila lombong ditutup, orang pun kurang datang. Saya pun asalnya datang sebab nostalgia tapi kalau sudah tidak ada memang rasa kurang seronok.
“Pada ketika ini, jangan kata pelancong luar malah orang tempatan di sini juga tidak ramai dilihat mundar-mandir,” katanya.

PROMOSI LEMAH, KEMUDAHAN TERHAD
Seorang lagi pengunjung, Ahmad Fadly Rashid, 49, pula berpendapat, kekurangan promosi dan papan tanda arah di lebuh raya utama menyumbang kepada kemerosotan.
“Tidak ada papan tanda arah mahupun iklan di lebuh raya bagi menarik perhatian tentang apa yang ada di Sungai Lembing,” katanya.
Dia turut menegaskan keperluan menambah lebih banyak kemudahan termasuk kedai makan dan aktiviti pelancongan berasaskan alam semulajadi supaya tidak terlalu bergantung kepada lombong bijih timah, Bukit Panorama atau air terjun Pelangi semata-mata.
“Takkan hendak bergantung pada satu, dua kedai sahaja. Medan selera pun gelap, itu mungkin sebab tiada pengunjung,” katanya.

ke tempat proses dan pengasingan yang kini menjadi bahan pameran
di Sungai Lembing, Kuantan, Pahang.
WARISAN BELUM DIMANFAATKAN, KETINGGALAN
Muzium Sungai Lembing masih menjadi rujukan sejarah namun potensi lokasi tersebut sebagai produk pelancongan pendidikan belum dimaksimumkan.
Pendekatan kreatif seperti pameran interaktif, teknologi realiti maya dan aktiviti berasaskan pengalaman boleh menghidupkan semula warisan perlombongan.
Jika dibandingkan dengan Ipoh yang berjaya memanfaatkan sejarah perlombongan sebagai tarikan, Sungai Lembing dilihat jauh ketinggalan.
Seorang pemerhati tempatan, Ahmad Zafir Salim, 49, berkata, pendekatan sedia ada yang lebih bersifat statik tidak lagi mampu menarik minat pelancong, khususnya generasi muda.
“Warisan di sini sebenarnya sangat bernilai tetapi belum dimanfaatkan sepenuhnya. Muzium Sungai Lembing hanya memaparkan sejarah secara asas tanpa pengalaman yang mendalam.
“Kalau ada pameran interaktif, penggunaan teknologi realiti maya atau aktiviti berasaskan pengalaman, pengunjung bukan sekadar melihat tetapi dapat merasai sendiri suasana perlombongan dahulu,” katanya.

PENIAGA TERHIMPIT
Seorang peniaga, Yap Siew Kee, 54, yang berniaga di Sungai Lembing sejak 30 tahun lalu berkata, keadaan perniagaan kini begitu perlahan berikutan kekurangan pelancong luar.
“Kalau dulu, pendapatan boleh cecah lebih RM1,000 sehari. Sekarang hendak dapat separuh pun susah, nasib baik sewa kedai masih murah.
“Saya rasa sejak lombong ditutup dan pakej pelancongan makin mahal, harga rumah inap meningkat, orang semakin kurang datang ke sini. Ini antara faktor yang menyumbang kepada kemerosotan,” katanya.
Menurutnya, jumlah premis perniagaan yang semakin berkurang juga menjadi indikator jelas bahawa ekonomi setempat semakin merosot.
“Sebab itu kita boleh lihat sendiri, kedai yang buka di sini tidak banyak dan itu menunjukkan ia kurang maju. Orang tua sudah tak mahu buka kedai sebab lebih banyak rugi. Orang muda pula tak mahu kerja di sini sebab pendapatan kecil.
“Barang makanan kering dan minuman lambat habis. Bila sudah tamat tempoh, tak boleh pulangkan semula kepada pembekal,” katanya.
Siew Kee juga mengakui sedang mempertimbangkan untuk menutup perniagaannya dan berhijrah ke bandar jika keadaan tidak berubah setahun lagi.
ANAK MUDA BERHIJRAH
Kekurangan peluang pekerjaan dan limpahan ekonomi di Sungai Lembing mendorong golongan muda berhijrah ke bandar besar bagi mencari sumber rezeki stabil, sekali gus mengurangkan tenaga kerja tempatan serta mempercepatkan kemerosotan ekonomi setempat.
Seorang penduduk tempatan, Carine Chen Kai Ling, 20, berkata, perubahan ketara dapat dilihat jika dibandingkan keadaan Sungai Lembing dahulu dan sekarang.
“Kalau tengok Sungai Lembing dulu dengan sekarang, memang jauh berbeza. Ekonomi semakin jatuh, bukan sahaja pelancong kurang, penduduk pun makin berkurang,” katanya.
Menurutnya, musim cuti persekolahan dan cuti umum yang sepatutnya menjadi waktu puncak sektor pelancongan juga tidak lagi membawa kehadiran pengunjung seperti dahulu.
“Sekarang cuti panjang pun tidak ada orang. Jadi, anak muda termasuk rakan-rakan saya ramai keluar ke bandar cari kerja sebab di sini sudah tidak ada peluang pekerjaan yang stabil. Kalau dulu, dalam pekan Sungai Lembing sahaja pun sudah boleh cari duit,” ujarnya.

Keadaan itu jelas menggambarkan betapa Sungai Lembing bukan sahaja kehilangan pelancong, tetapi juga generasi mudanya.
Ini merupakan suatu petanda masa depan pekan bersejarah ini semakin kabur jika tiada usaha pemulihan dilakukan pihak berwajib.
Tanpa suntikan baharu daripada segi pelaburan dan pembangunan, masa depan Sungai Lembing dilihat semakin tidak menentu.
Sungai Lembing bukan hanya sebuah pekan lama yang ditinggalkan zaman. Ia adalah saksi kegigihan generasi terdahulu yang pernah mengerah keringat di perut bumi demi menggerakkan ekonomi negara.
Hari ini, warisan itu masih ada tetapi semakin sepi. Jika tiada usaha bersungguh-sungguh untuk menghidupkannya kembali, tidak mustahil suatu hari nanti Sungai Lembing hanya akan dikenang sebagai sejarah bukan lagi destinasi.-MINGGUAN.










