KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan komited menunaikan hak Sabah untuk menerima 40 peratus hasil bersih Persekutuan yang diperoleh daripada negeri itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tiada sebarang rundingan berhubung perkara itu kerana kerajaan sudah memberi jaminan jelas bahawa komitmen berkenaan akan dihormati.
“Jawapan saya begini. Kita tidak merayu kes 40 peratus (hak hasil) itu, ia sudah tutup kes dan tiada perbincangan lagi.
“Setakat ini, kita telah memberikan jaminan yang jelas dan tegas bahawa ia adalah komitmen yang kukuh. Ia adalah keputusan yang saya umumkan dalam Kabinet dan juga di Parlimen.
“Tiada rundingan. Kita komited untuk menunaikan komitmen 40 peratus kepada rakyat Sabah,” katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Perdana Menteri bertempat di Kompleks Dewan Kuliah Pusat Ke-2, Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, dalam penghakiman berkaitan perkara itu terdapat beberapa isu yang mempersoalkan peranan pemimpin Persekutuan terdahulu.
Menurutnya, keputusan berkenaan turut menyentuh serta mempertikaikan peranan pemimpin sejak era Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak Hussein selain pemimpin Sabah seperti Tun Datu Mustapha Harun, Tun Fuad Stephens, Tan Sri Harris Salleh dan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.
“Keputusan penghakiman itu ada isu yang menyinggung dan mempertikaikan peranan pemimpin-pemimpin berkenaan yang dipilih rakyat Sabah.
“Ia tidak wajar, itu pandangan kita. Tidak timbul sama sekali isu 40 peratus kerana apa yang sudah selesai tetap selesai dan kita tidak akan mempersoalkannya.
“Oleh itu, kita membawa perkara ini ke mahkamah untuk mendapatkan penjelasan. Adakah ia menjejaskan isu 40 peratus? Perkara itu tidak timbul sama sekali. Isu 40 peratus sudah pun selesai dan kita tidak akan mempertikaikannya,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan pada 17 Oktober tahun lalu, Mahkamah Tinggi mengiktiraf hak Sabah untuk menerima 40 peratus daripada hasil bersih Persekutuan yang diperoleh daripada negeri itu bagi tempoh 1974 hingga 2021.-UTUSAN.










