Jalan lencongan Gua Musang-Merapoh dibuka semula

Jalan lencongan Gua Musang-Merapoh dibuka semula

PENGGUNA menggunakan laluan sementara projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) Pakej 3B dan 3C berhampiran Taman Wangi, Gua Musang, Kelantan selepas kerja baik pulih selesai dilaksanakan. - UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Jalan lencongan Gua Musang-Merapoh berhampiran Taman Wangi yang ditutup selama lapan hari bermula 7 Mac lalu bagi memberi laluan kepada kerja-kerja penurapan dibuka kepada semua kenderaan, semalam.

Pembaikan laluan di bawah projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) Pakej 3B dan 3C tepat pada masanya sekali gus memberi kelegaan kepada orang ramai terutama perantau yang dijangka mula pulang ke kampung halaman bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri beberapa hari lagi.

Seorang pengguna jalan raya, Muhamad Abdul Hafiz Yaacob, 25, berkata, keadaan laluan tersebut sebelum ini agak membimbangkan kerana permukaan jalan rosak dan berlubang sehingga menyukarkan perjalanan terutama pada waktu malam.

Katanya, kerja pembaikan yang siap sepenuhnya itu memberi kelegaan kepada penduduk tempatan yang melalui laluan berkenaan setiap hari untuk urusan kerja dan menghantar anak ke sekolah.

“Penduduk perlu menggunakan laluan alternatif lebih jauh dan terpaksa menempuh kesesakan setiap kali waktu puncak sepanjang lapan hari jalan ditutup untuk kerja pembaikan.

“Alhamdulillah, perjalanan lebih lancar dan selamat. Ramai pengguna yang lega kerana laluan ini penting untuk orang ramai terutama menjelang musim perantau pulang beraya,” katanya.

Seorang lagi penduduk setempat, Noraini Ahmad, 45, berkata, pembaikan laluan sementara itu tepat pada masanya kerana jumlah kenderaan dijangka meningkat dalam tempoh beberapa hari lagi.

Katanya, sebelum ini, pengguna terpaksa memperlahan kenderaan dan lebih berhati-hati kerana permukaan jalan yang berlubang dan rosak akibat dilalui kenderaan berat.

“Pengguna jalan raya lebih yakin dan selamat untuk melalui laluan ini terutama bagi perantau yang akan pulang ke kampung untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Kami bersyukur tiada lagi ‘lubang congkak puaka’ yang menyebabkan banyak kejadian pecah tayar kepada pengguna kenderaan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Datuk Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, kerja pembaikan yang dilaksanakan membantu memulihkan laluan tersebut dan kini boleh digunakan seperti biasa oleh kenderaan ringan seperti kereta dan motosikal.

Katanya, kerja pembaikan melibatkan penurapan baharu di laluan berkenaan bagi memastikan permukaan jalan lebih selesa dan selamat digunakan.

“Selain itu, laluan tersebut dilengkapi palang bagi mengelak kenderaan berat melalui kawasan berkenaan serta pemasangan lampu jalan untuk meningkatkan tahap keselamatan pengguna terutama pada waktu malam,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) memaklumkan penutupan laluan Gua Musang-Merapoh selama lapan bagi memberi laluan kepada kerja-kerja penurapan di jalan lencongan berhampiran Taman Wangi.

Penutupan laluan tersebut merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Projek LTU melibatkan Pakej 3B dan 3C yang sedang dijalankan di kawasan berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×