Colek ‘dalam talian' laris sepanjang Ramadan

Colek ‘dalam talian’ laris sepanjang Ramadan

NUR Ain Najwa Mohamad Suhami menunjukkan colek yang dijual secara dalam talian di NocTra Cafe, Jalan Sultan Yahya Petra, Kota Bharu, Kelantan. - UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang siswazah Sarjana Pentadbiran Awam dari Universiti Utara Malaysia (UUM) tidak menyangka cubaannya menjual colek secara dalam talian sejak lima tahun lalu membuatkan dia tidak menang tangan memenuhi permintaan pelanggan.

Nurul Ain Najwa Mohamad Suhami, 34, berkata, situasi itu menyebabkannya bertekad meneruskan perniagaan tersebut setiap kali Ramadan selepas dimulakan ketika pandemik Covid-19 melanda negara.

Katanya, dia banyak menerima tempahan dari pengurusan masjid di sekitar Kota Bharu untuk dijadikan sebagai moreh.

“Saya juga terima tempahan daripada individu yang tidak mahu bersesak-sesak di premis menyediakan kudapan ini.

“Mereka hanya perlu membuat tempahan dan kami hantarkan atau boleh ambil sendiri selepas solat tarawih.,” katanya kepada Utusan Malaysia di NocTra Cafe, Jalan Sultan Yahya Petra di sini semalam.

Nur Ain Najwa berkata, colek tersebut dijual antara harga RM15 hingga RM250 satu pek.

Katanya, kudapan itu lengkap dengan pelbagai pilihan seperti cucur, ayam bakar, keropok lekor, sayur-sayuran, kentang, bebola ikan, sosej dan jejari ketam.

“Untuk cucur pula, saya menggunakan resipi ibu (Eddah Akmal Ibrahim) yang berniaga makanan ini hampir 30 tahun,” katanya yang dibantu tiga pekerja bagi menyiapkan tempahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN