PETALING JAYA: Sindiket penipuan atau scammer kini menggunakan taktik baharu bagi menjerat mangsanya apabila dengan mempromosikan iklan-iklan jawatan kosong palsu di media-media sosial.
Pemerhatian wartawan Utusan Malaysia di platform media sosial Threads mendapati terdapat banyak iklan kerja kosong dipromosikan namun disertakan dengan pautan yang mencurigakan.
Lebih licik beberapa akaun yang dipercayai palsu itu tampil menggunakan nama-nama syarikat terkenal, institusi perbankan, jabatan kerajaan untuk menampakkan supaya iklan itu adalah tulen.
Antara jawatan kerja kosong yang diiklankan termasuklah sebagai kerani bank malah juga sebagai guru Tabika Perpaduan sekali gus menarik minat golongan yang terdesak untuk mendapatkan peluang pekerjaan.
Seorang pengguna Threads, Afif Assidiq berkata, ibunya juga pernah menjadi mangsa apabila mengisi maklumat peribadi dan log masuk melalui pautan iklan yang disertakan dalam iklan mencari kerja sebagai tukang cuci.
“Menerusi pautan itu, pihak scammer meminta pelbagai maklumat peribadi termasuk meminta kod pengesahan sekali guna (OTP).
“Akhirnya mereka mendapat akses dan mengeluarkan wang kira-kira RM8,000 daripada akaun bank ibu saya selepas memperoleh maklumat seperti nama pengguna, kata laluan dan kod OTP,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Sementara itu, seorang lagi pengguna Threads, Lily Batrisya turut mengakui terdapat lambakan iklan kerja kosong meragukan yang dipromosi di platform media sosial berkenaan.
Oleh itu, dia juga menasihatkan orang ramai agar tidak mudah mempercayai pautan mencurigakan tersebut.
“Permintaan OTP dalam permohonan kerja adalah tidak logik kerana hanya digunakan untuk tujuan keselamatan.
“Kalau mohon kerja tetapi diminta OTP, itu petanda jelas sesuatu yang tidak kena dan pengguna perlu lebih berhati-hati dan semak dahulu sebelum bertindak,” katanya lagi.
Sementara itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menekan klik sebarangan pautan di media sosial.
“Nampak macam biasa, tetapi sebenarnya perangkap. Pautan palsu, e-mel phishing, akaun scam, semuanya direka untuk tarik anda masuk tanpa sedar.
Sekali terjerat, kesannya bukan kecil. Jangan klik sebarangan, jangan mudah percaya. Waspada sebelum terlambat,” kata suruhanjaya itu di Facebook. – UTUSAN










