PASIR GUDANG: Seorang akauntan berputih mata setelah mengalami kerugian RM138,180 gara-gara terperdaya skim pelaburan tidak wujud dalam talian.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd. Sohaimi Ishak berkata, wanita berumur 60 tahun itu dijanjikan pulangan pelaburan sebanyak 20 peratus dalam tempoh yang singkat hasil pelaburan tersebut.
Katanya, mangsa telah melakukan transaksi pembayaran tersebut bermula 15 hingga 22 Disember lalu menerusi dua akaun bank yang diberikan.
“Setelah melakukan transaksi itu, mangsa diarahkan untuk membuat pembayaran lagi bagi menuntut keuntungan yang diperolehnya.
“Mangsa merasa tertipu kerana dalam tempoh pelaburan itu, mangsa tidak pernah menerima sebarang keuntungan,” katanya dalam satu kenyataan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN










