Adakah ibu bapa pantau anak-anak dalam talian?

Adakah ibu bapa pantau anak-anak dalam talian?

PENGAWASAN dan pemantauan yang sewajarnya harus diamalkan ibu bapa supaya anak mereka tidak dirosakkan oleh isi kandungan internet yang boleh meracuni minda dan jiwa anak-anak mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERKEMBANGAN komunikasi dan teknologi maklumat (ICT) merupakan satu perkembangan yang positif untuk segala bentuk aktiviti komunikasi manusia hari ini.

Ia sekali gus baik dan bermanfaat untuk pembangunan negara.

Semua peringkat umur tidak terkecuali dalam memanfaatkan komunikasi teknologi maklumat ini dengan penggunaan pelbagai gajet yang canggih dan pelbagai jenama.

Antara kelompok yang cepat belajar, mahir dan cekap dalam penggunaan ICT ialah kelompok anak muda yang dikenali sebagi Generasi Y yang berumur 15 hingga 35 tahun.

Namun, masalah timbul apabila golongan ini mudah terpengaruh dengan kandungan yang boleh meracuni pemikiran mereka.

Paling menggusarkan kita ialah kelompok kanak-kanak berusia 10 hingga 15 tahun yang semakin ramai terdedah dalam penggunaan ICT dan mereka amat mudah dipengaruhi anasir tidak sihat dalam media siber atau internet.

Laporan Norton Online Family (2010) menyebut secara purata kanak-kanak dan remaja di negara kita yang dalam lingkungan usia lapan hingga 15 tahun melayari internet 19 jam seminggu.

Berdasarkan laporan itu juga, 90 peratus daripada 8.5 juta kanak-kanak dan remaja dalam lingkungan umur lapan hingga 15 tahun terdedah kepada unsur tidak sihat media siber. Itu pendedahan lebih 10 tahun yang lalu, maka bagaimana perkembangannya pada hari ini?

Ketika pandemik Covid-19 melanda negara beberapa tahun lalu, penggunaan peranti semakin meningkat hasil dari proses pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan secara dalam talian.

Pembelajaran dalam talian itu memang sangat membantu anak-anak kita dalam pelajaran dan ia sekali gus meningkatkan kemahiran dan pengetahuan serta kemampuan anak-anak kita untuk mengakses pelbagai perkara di alam siber.

Namun, yang kita bimbangkan ialah keterujaan mereka melayari internet dan media sosial tanpa kawalan yang berkesan dari orang dewasa, terutamanya ibu-bapa akan mendedahkan golongan yang belum matang itu kepada pelbagai gejala negatif, termasuk kesan terhadap tingkah laku anak-anak.

Hari ini semakin banyak isu yang dibincangkan berkaitan kesan buruk internet terhadap kanak-kanak dan remaja.

Antaranya ialah isu eksploitasi seksual seperti pedofil, isu buli siber dan terkini isu pengantunan kanak-kanak (sexual grooming) di akaun media sosial dalam kalangan kanak-kanak dan bermacam-macam penipuan dalam talian.

Laporan kajian UNICEF Malaysia pada 2021 menunjukkan empat peratus kanak-kanak berumur 12 hingga 17 tahun yang menggunakan internet terdedah dengan ancaman eksploitasi dan penderaan seksual secara maya.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil pada Oktober 2024 mengesahkan bahawa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ada menerima aduan mengenai kewujudan kumpulan pengantunan kanak-kanak di akaun media sosial.

Saya percaya beberapa elemen negatif yang merosakkan tingkah laku generasi muda kita seperti tidak mengendahkan norma dan adab-adab bermasyarakat, lekas meradang bila ditegur atau diberi nasihat, mudah agresif terhadap orang lain, berfikiran ganas, anti penubuhan, gemar melihat bahan pornografi, terpengaruh dengan amalan seks bebas dan pelbagai lagi tingkah laku negatif adalah berpunca daripada pengaruh internet termasuk platform media sosial.

Memang tidak dinafikan perkembangan ICT berjaya mengubah corak atau landskap komunikasi serta menjadikan masyarakat kita lebih bermaklumat.

Namun, di sebalik sisi positifnya, banyak pula sisi negatif yang disebarkan melalui internet. Semua perkembangan tidak sihat ini menggusarkan masyarakat, khususnya ibu bapa.

Masalahnya, dari segi pemantauan ibu bapa ia belum ada kesedaran yang menyeluruh.

Menurut laporan pada tahun 2010 itu, hanya empat daripada 10 ibu bapa di negara ini yang mengawasi isi kandungan laman web yang diakses anak mereka.

Ini menunjukkan ramai ibu bapa yang tidak memberikan perhatian serius terhadap penggunaan internet oleh anak mereka sehingga tidak menyedari ada anak mereka diracuni dengan bahan atau anasir-anasir negatif yang terkandung di dalamnya.

Kelemahan kebanyakan ibu bapa ini mungkin disebabkan kejahilan mereka dalam penggunaan ICT dan instrumen-instrumen yang boleh digunakan mereka dalam mengawal penggunaan internet anak-anak mereka.

Contohnya, ibu bapa boleh menggunakan perisian Internet Security and Acceleration, Google Family Link, NetFilter Home, Cybernany dan CyberPatrol yang dapat menyaring setiap kandungan laman web dengan tepat.

Ibu-bapa juga boleh memanfaatkan Modul Keibubapaan Siber dan Keselamatan Dalam Talian Kanak-Kanak yang disediakan oleh Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan CyberSecurity Malaysia (CSM).

Agensi terbabit juga wajar memperluas dan mendedahkan perkara tersebut supaya diketahui ramai bagi mendidik ibu bapa dan kanak-kanak berhubung keselamatan dalam talian.

Hakikatnya, ibu bapa mempunyai peranan cukup besar dalam mendidik, membimbing dan memantau anak-anak dalam penggunaan internet dan media sosial.

Pengawasan dan pemantauan yang sewajarnya harus diamalkan ibu bapa supaya anak mereka tidak dirosakkan oleh isi kandungan internet yang boleh meracuni minda dan jiwa anak-anak mereka.

Selain ibu bapa, mereka yang terbabit dalam menyedia atau menyebarkan bahan atau kandungan dalam media siber turut bertanggungjawab.

Mereka yang mempunyai agenda merosakkan minda dan jiwa anak muda melalui penyebaran bahan-bahan yang tidak bermoral mesti dikenakan hukuman setimpal oleh pihak berkuasa seperti MCMC.

Dalam masa yang sama, pihak berkuasa terbabit termasuk institusi pendidikan perlu ada inisiatif memperluas kempen bagi mendidik masyarakat, terutamanya menyedarkan mereka yang terbabit dalam menyedia isi kandungan media siber mengamalkan kod etika yang ditetapkan.

Ini penting supaya ‘konten’ atau isi kandungan yang mereka kendalikan adalah mengandungi maklumat yang bertanggungjawab, beretika dan profesional demi membentuk pemikiran dan jiwa generasi muda yang sihat dan membina.

Kanak-kanak dan remaja kita harus dilindungi daripada anasir-anasir negatif yang berlambak dalam media siber.

Mereka adalah golongan yang masih belum matang pemikirannya dan mudah dipengaruhi dan dipergunakan oleh golongan yang tidak bertanggungjawab dalam dunia ‘alam siber.’

Justeru, agensi penguatkuasa harus bertindak tegas ke atas kandungan atau ‘konten’ yang tidak bertanggungjawab.

Dalam masa yang sama, mempertingkat kempen dan pendidikan mengenai keselamatan dalam talian dan menjadi pengendali atau pengguna ‘media siber’ yang bertanggungjawab dan beretika. – UTUSAN

PENULIS ialah penganalisis sosiopolitik bebas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN