PETALING JAYA: Sistem keselamatan di kawasan sensitif Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) akan dinaik taraf melalui pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) pintar serta kawalan keluar masuk yang lebih ketat.
Langkah itu diambil selepas sembilan kes salah laku melibatkan kakitangan yang membawa masuk bahan terlarang kepada klien di Puspen direkodkan dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini iaitu dari 2023 hingga awal tahun ini.
Kesemua kes tersebut telah dikenakan tindakan tatatertib atau undang-undang oleh pihak berkuasa.
Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh berkata, tindakan tegas termasuk buang kerja akan dikenakan terhadap mana-mana kakitangan yang didapati terlibat.
Menurutnya, tindakan itu diambil selaras dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 bagi memastikan integriti perkhidmatan awam terus terpelihara.
“Antara tindakan yang dikenakan terhadap kakitangan terlibat termasuk buang kerja, tangguh pergerakan gaji selama enam bulan, penurunan gaji bagi tempoh tertentu serta amaran,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Ruslin berkata, siasatan dalaman AADK mendapati beberapa faktor menyumbang kepada kejadian tersebut termasuk kekurangan sokongan teknologi serta isu integriti dalam kalangan segelintir kakitangan.
Katanya, pengawasan secara fizikal mempunyai had tertentu dan ketiadaan kelengkapan teknologi moden seperti CCTV menyeluruh serta alat pengimbas di lokasi strategik memberi ruang kepada insiden berkenaan berlaku.
“Selain itu, faktor tekanan peribadi seperti konflik keluarga dan masalah kewangan turut dikenal pasti sebagai antara punca yang mendorong segelintir kakitangan melakukan perbuatan tersebut,” ujarnya.
Sehubungan itu, AADK turut memperkukuh budaya integriti dalam kalangan kakitangan melalui latihan berterusan selain menyediakan akses kepada sesi kaunseling bagi mereka yang berdepan masalah peribadi atau kewangan.
Dalam masa sama, ujian air kencing secara berkala juga akan dilaksanakan terhadap kakitangan sebagai langkah pencegahan bagi memastikan semua warga jabatan bebas daripada pengaruh bahan terlarang.
“Dari segi prosedur keselamatan, pemeriksaan terhadap kenderaan dan kakitangan di pintu masuk utama Puspen terus dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Sebagai langkah tambahan, pemeriksaan mengejut tanpa amaran akan dilakukan secara berkala di semua Puspen di seluruh negara bagi memastikan pematuhan terhadap SOP berada pada tahap tertinggi,” katanya.
Tambah beliau, SOP pemeriksaan fizikal serta pemeriksaan barangan peribadi juga sedang disemak semula bagi memperketat kawalan dan meminimumkan risiko penyeludupan bahan terlarang.
“AADK turut menjalankan pemantauan operasi secara konsisten serta melaksanakan audit mengejut dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada unsur sindiket atau penglibatan pihak luar.
“Selain itu, agensi ini turut menjalinkan kerjasama rapat dengan unit integriti bagi melaksanakan program pengukuhan sahsiah dan kesedaran berkaitan implikasi perundangan terhadap salah laku,” ujarnya.
Menurut Ruslin, sebarang laporan atau petunjuk salah laku akan disiasat segera dan kes akan diserahkan kepada pihak berkuasa sekiranya melibatkan kesalahan jenayah.
“AADK memberi jaminan semua Puspen di seluruh negara kekal sebagai zon selamat dan bebas daripada kemasukan bahan terlarang melalui penguatkuasaan prosedur kerja yang lebih ketat serta prinsip sifar kompromi terhadap salah laku kakitangan.
“Ketegasan ini membuktikan komitmen AADK dalam memastikan integriti agensi terus terpelihara sekali gus mengekalkan kepercayaan masyarakat terhadap fungsi pusat pemulihan,” katanya. – UTUSAN










