1.37 juta pil kuda cuba diseludup ke Malaysia dirampas

1.37 juta pil kuda cuba diseludup ke Malaysia dirampas

DUA anggota sindiket penyeludupan dadah utama di Selatan Thai ditahan bersama 11 bungkusan yang mengandungi 1.37 juta pil kuda di Hat Yai, Selasa lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HAT YAI (THAILAND): Cubaan rangkaian sindiket dadah utama di Selatan Thai untuk mengangkut dan menyeludup lebih sejuta pil kuda melalui pintu sempadan di Wilayah Narathiwat dan Yala menggunakan kurier, gagal apabila empat anggota sindiket itu diberkas, Selasa lalu.

Kejayaan itu adalah hasil risikan dan operasi khas dilakukan Bahagian Siasatan Narkotik 2, Polis Wilayah 9, setelah menerima maklumat awam berhubung kegiatan sindiket yang menggunakan syarikat pengangkutan untuk mengangkut dan menyeludup dadah.

Sumber polis di sini berkata, siasatan awam mendapati dadah berkenaan akan dihantar ke Wilayah Narathiwat untuk diseludup ke Malaysia.

Katanya, sepasukan anggota polis memeriksa sebuah syarikat penghantaran di Mukim Khuan Lang di sini, pada pukul 11 pagi Selasa lalu susulan risikan bahawa sekumpulan pengedar dadah menggunakan perkhidmatan kurier untuk mengangkut dadah ke wilayah selatan sebelum diseludup ke Malaysia.

“Pada pukul 11.35 pagi, sebuah kenderaan mencurigakan berhenti di hadapan syarikat berkenaan dan dua lelaki keluar untuk menerima bungkusan yang kemudian memasukkannya ke dalam sebuah kenderaan.

“Anggota polis melakukan serbuan dan memeriksa kenderaan tersebut, sebelum menemukan 11 bungkusan yang mengandungi 1.37 juta pil kuda. Operasi susulan diteruskan dengan penangkapan dua lagi anggota sindiket terbabit di tempat sama. Semua suspek rakyat tempatan berusia antara 18 tahun dan 39 tahun,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sumber itu berkata, pihak berkuasa turut merampas sebuah pikap dan sebuah kereta serta empat unit telefon bimbit.

Kejayaan operasi kali ini, katanya, adalah susulan rampasan 1.6 juta pil kuda dalam satu operasi di Daerah Bang Klam, Songkhla, pada 13 Februari lalu yang menggunakan taktik sama.

“Semua suspek akan didakwa secara bersama memiliki narkotik Kategori 1 secara haram untuk tujuan pengedaran dalam kalangan orang ramai yang boleh menjejaskan keselamatan awam.

“Suspek dan bukti rampasan kemudian diserahkan kepada penyiasat Balai Polis Hat Yai untuk prosiding undang-undang dan siasatan lanjut bagi mengesan ahli rangkaian lain dan asal usul narkotik berkenaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN