Sokongan keluarga jadi kekuatan pulih ketagihan pil kuda

Sokongan keluarga jadi kekuatan pulih ketagihan pil kuda

ARZMI Abdullah (berdiri) menyantuni sebahagian klien dan keluarga pada Program Keluarga Sejahtera anjuran Jawatankuasa Pemulihan Dadah di Kuala Nerus, Terengganu. - UTUSAN/ ERMA YUSNIDA JUSOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Terjebak dengan penyalahgunaan dadah seawal usia 20 tahun menjadi titik hitam dalam hidup seorang pemuda yang hanya mahu dikenali sebagai Hadi, 24, namun sokongan keluarga membantunya berubah daripada terus ‘hanyut’ dengan bahan larangan itu.

Anak ketiga daripada empat beradik itu mengakui, keinginannya untuk mencuba akhirnya membawa kepada ketagihan ‘pil kuda’ sebelum ditahan dalam satu operasi di rumah keluarganya di sini.

“Semua berlaku atas kehendak diri sendiri. Saya sekadar mahu mencuba tetapi akhirnya terjebak lebih jauh.

“Ujian air kencing yang dijalankan ketika operasi tersebut mendapati saya positif dadah sebelum dihantar ke pusat pemulihan di Besut selama hampir dua tahun,” katanya ketika ditemui pada Program Keluarga Sejahtera anjuran Jawatankuasa Pemulihan Dadah (JKPD) Kuala Nerus dengan kerjasama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), di sini.

Hadi berkata, sepanjang berada di pusat berkenaan, dia bukan sahaja menjalani rawatan pemulihan malah mendalami ilmu agama yang banyak membantu mengubah dirinya.

“Saya sangat menyesal dengan apa yang berlaku dan tidak mahu mengulanginya lagi,” katanya.

Menurutnya, selepas kembali ke pangkuan keluarga, dia kini bekerja sendiri dan berusaha menjadi insan lebih bertanggungjawab termasuk menyerahkan sebahagian pendapatan kepada ibu bapanya setiap kali menerima gaji.

Sementara itu, ibunya, Siti ( bukan nama sebenar) ,49, berkata, dia pada awalnya berasa sedih apabila mengetahui keadaan anaknya namun tidak pernah menyalahkan atau memarahinya.

“Sebagai ibu, saya lebih fikir mengapa dia jadi begitu. Saya percaya dia boleh berubah dan Alhamdulillah, dia benar-benar berubah. Kalau perkara ini tidak terbongkar lebih awal, mungkin keadaannya jadi lebih teruk,” katanya.

Menurut suri rumah itu, sokongan berterusan daripada keluarga termasuk lawatan dan panggilan telefon setiap bulan sepanjang tempoh pemulihan banyak membantu anaknya bangkit semula.

Seorang lagi peserta, Sabariah (bukan nama sebenar), 47, turut berkongsi kegembiraannya apabila suaminya, Abdul Malik (bukan nama sebenar), 52, berjaya berhenti daripada mengambil dadah sejak 2018.

Katanya, perubahan tersebut memberi sinar baharu kepada kehidupan mereka sekeluarga yang mempunyai enam anak.

“Dia kini bekerja kontrak dan kami sama-sama membina kehidupan baharu yang lebih baik,” katanya.

Bagi Anisah (bukan nama sebenar),37, pula, keputusan menghantar anak lelakinya berusia 22 tahun ke pusat pemulihan selama dua tahun adalah langkah terbaik.

“Anak saya kini sudah berubah dan bekerja secara kontrak. Banyak perubahan positif selepas keluar dari pusat pemulihan,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Terengganu, Arzmi Abdullah berkata, penganjuran program tersebut bertujuan memberi sokongan berterusan kepada klien dan ahli keluarga mereka.

Menurutnya, seramai 104 peserta terdiri daripada klien dan keluarga dari Kuala Nerus terlibat dalam program berkenaan.

“Pemulihan bukan hanya melibatkan individu, tetapi memerlukan sokongan kuat daripada keluarga. Tanpa sokongan ini, proses pemulihan menjadi lebih sukar dan berisiko untuk berulang,” katanya. – UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN