YALA (THAILAND): Rangkaian terbesar sindiket penyeludupan dadah ke Malaysia yang berpangkalan di Selatan Thailand, tumpas selepas empat dalang utamanya diberkas bersama lebih 400,000 pil kuda dalam operasi khas yang berlangsung lebih seminggu.
Operasi Biro Pencegahan dan Penindasan Narkotik Polis Wilayah Yala sejak 18 Jun lalu itu turut merampas pelbagai aset termasuk rumah, tanah dan kenderaan bernilai lebih RM1.92 juta.
Jurucakap Polis Wilayah Yala berkata, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan membekalkan dadah kepada kumpulan di Malaysia melalui laluan-laluan semula jadi di sempadan kedua-dua negara, khususnya di Narathiwat dan Yala.
Katanya, kejayaan menahan empat dalang itu susulan rampasan dadah serta penahanan beberapa orang kanan sindiket sebelum ini yang mendorong kepada siasatan diperluas.
“Hasil risikan dan siasatan membawa kepada pengenalpastian empat pemimpin utama sindiket yang beroperasi di Wilayah Yala, Pattani serta kawasan sempadan Thailand-Malaysia, sebelum pasukan operasi khas dibentuk untuk memburu mereka,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Jurucakap itu berkata, suspek pertama ditahan di Daerah Bannang Sata bersama 99,600 pil kuda selain aset bernilai lebih RM261,138.
Katanya, suspek kedua pula diberkas di sebuah rumah di Daerah Mueang (Perbandaran) Yala, dengan polis menemukan 109,800 pil kuda yang disembunyikan di atas siling rumah serta merampas aset bernilai RM938,119.
“Operasi kemudian membawa kepada penahanan seorang lagi pemimpin sindiket di Daerah Yarang, Wilayah Pattani bersama 152,000 pil kuda dan aset bernilai RM272,029.
“Siasatan diteruskan sehingga membawa kepada penahanan dalang terakhir di Daerah Mueang Yala bersama 30,000 pil kuda. Pelbagai aset termasuk tanah, rumah dan kenderaan bernilai lebih RM548,267 turut disit,” katanya.
Jurucakap itu berkata, operasi yang berlangsung lebih seminggu itu menumpaskan satu daripada rangkaian utama sindiket pengedaran dan penyeludupan dadah yang aktif di Selatan Thailand, termasuk rangkaian yang menyeludup bekalan ke Malaysia. – UTUSAN










