Tiada istilah ‘terjejas’ dalam pengambilan guru

Tiada istilah ‘terjejas’ dalam pengambilan guru

AMINUDDIN AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengambilan 20,000 guru baharu secara kontrak tidak menjejaskan peluang calon guru sedia ada, sebaliknya membantu meringankan beban tugas guru-guru di sekolah seluruh negara.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang berkata, tiada istilah ‘terjejas’ dalam pelaksanaan pengambilan tersebut kerana penambahan tenaga pengajar akan membolehkan guru sedia ada menumpukan kepada tanggungjawab dan tugasan profesional masing-masing.

“Semakin ramai guru diambil, semakin berkurang beban yang ditanggung oleh guru sedia ada. Jika tiada penambahan, mereka terpaksa menampung kekura­ngan yang akhirnya memberi tekanan dari segi tugas.

“Keutamaan akan diberikan kepada calon simpanan berbanding guru Contract of Service (COS), justeru calon guru sedia ada tidak perlu bimbang mengenai peluang penempatan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, lantikan secara kontrak juga menuntut komitmen dan prestasi tinggi kerana penilaian akan dibuat secara tahunan.

“Jika dalam tempoh setahun prestasi tidak memuaskan, kontrak boleh ditamatkan secara automatik. Ini memastikan hanya guru yang benar-benar berkualiti diteruskan perkhidmatannya,” katanya.

Januari lalu, akhbar ini melaporkan Kementerian Pen­di­dikan (KPM) akan me­ngambil 20,000 guru baharu bagi meme­nuhi keperluan tenaga pe­nga­jar di sekolah seluruh negara. Guru baharu itu akan dilantik secara kontrak sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG9.

Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd. Azam Ahmad berkata, pengambilan guru baharu itu adalah sebahagian persiapan awal KPM bagi pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035.
Mengulas lanjut, Setiausaha Agung NUTP, Fouzi Singon berkata, kebajikan guru tetap tidak terjejas kerana pengambilan guru kontrak tertumpu kepada persediaan pengajaran murid Tahun Satu pada 2027 yang melibatkan dua kohort umur serentak.

Menurutnya, pertambahan kohort tersebut dijangka hampir dua kali ganda berbanding kebiasaan, sekali gus memerlukan sokongan tenaga pengajar tambahan.

“Guru tetap kekal dalam unjuran perjawatan sedia ada KPM dan penempatan mereka ditentukan berdasarkan keperluan opsyen yang telah dirancang.

“Calon guru kontrak yang benar-benar berminat dan ikhlas untuk mendidik boleh dilatih melalui Program Diploma Ikhtisas Pendidikan Khas yang akan dijalankan pada hujung minggu serta sepanjang cuti persekolahan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN