Pesakit ringan tambah beban jabatan kecemasan

Pesakit ringan tambah beban jabatan kecemasan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lambakan pesakit zon hijau di jabatan kecemasan dan trauma (JKT) hospital kerajaan mengakibatkan beban petugas kesihatan kian bertambah, selain pesakit yang kritikal memerlukan rawatan segera terpaksa menunggu lebih lama.

Tinjauan Utusan Malaysia di tiga buah hospital kerajaan di Lembah Klang mendapati, terdapat pesakit bukan kecemasan seperti demam dan sakit perut menunggu di JKT, meskipun sepatutnya memperoleh rawatan di fasiliti kesihatan lain seperti klinik komuniti.

Petugas kesihatan yang ditemui menganggarkan, daripada 100 pesakit yang datang ke JKT setiap hari, 30 orang merupakan pesakit zon hijau. Ini sekali gus menandakan bebanan di ruangan kecemasan tersebut.

Pegawai perubatan yang mahu identitinya dirahsiakan berkata, lambakan pesakit zon hijau sudah lama berlarutan, bukan sahaja memberi kesan kepada petugas kesihatan tetapi pesakit yang memerlukan rawatan segera.

Katanya, pihak hospital sudah mengambil beberapa langkah untuk menangani isu tersebut seperti pembukaan klinik kesihatan selepas waktu bekerja untuk merawat pesakit tidak kritikal.

“Ia akan menyukarkan para doktor untuk menjalankan rawatan kepada pesakit kritikal kerana walaupun mereka tidak di situasi kritikal, namun masih memerlukan rawatan.

“Para petugas kesihatan terpaksa merawat mereka dan ini mengurangkan petugas di zon yang lebih kritikal seperti di zon kuning dan merah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, jururawat yang hanya mahu dikenali sebagai Amira, 25, berkata, ada pesakit ke JKT semata-mata mahu mendapatkan atau menyambung Sijil Cuti Sakit (MC).

Ujarnya, walaupun pesakit kritikal di zon kuning dan merah akan didahulukan, namun sekiranya berlaku sebarang kemalangan atau insiden besar maka semua petugas di zon lain juga akan dikerahkan.

“Petugas di setiap zon tidak ramai, contoh kalau di zon merah ada kemalangan yang melibatkan banyak kenderaan, semua petugas dari zon lain akan datang membantu,” katanya.

Beliau menyarankan supaya pesakit yang tidak kritikal untuk pergi dan menerima rawatan di klinik kesihatan atau klinik swasta terlebih dahulu bagi memberi ruang kepada pesakit kritikal di JKT.

“Pendapat saya, jika demam dan suhu masih di bawah 37.5 darjah celsius boleh ke klinik kerajaan atau klinik swasta berdekatan.

“Saya sendiri sebagai jururawat pernah demam dan cirit birit, saya ke klinik kesihatan esoknya atau klinik swasta jika tidak tahan sgt pada malam hari.

“Tetapi jika luka terkena air panas misalnya dan melecur boleh ke JKT, walaupun di zon hijau, kami akan rawat luka dahulu sebelum berjumpa doktor,” katanya.

Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Prof Dr Jamalludin Ab Rahman berkata, JKT diwujudkan untuk menangani kes yang benar-benar kecemasan iaitu keadaan di mana pesakit memerlukan rawatan segera bagi mengelakkan risiko kematian, kecacatan kekal, atau kemerosotan keadaan yang serius.

Katanya, oramai memang boleh jatuh sakit pada bila-bila masa, namun tidak semua penyakit atau ketidakselesaan adalah kecemasan.

“Perlu juga difahami bahawa JKT di hospital kerajaan selalunya sangat sibuk dan penuh, kerana menampung jumlah pesakit yang ramai.

“Dalam situasi tertentu, pesakit yang memerlukan rawatan kecemasan juga boleh mendapatkan rawatan di JKT hospital swasta, terutamanya jika keadaan memerlukan perhatian segera dan fasiliti tersebut lebih hampir atau kurang sesak,” katanya.

Beliau menyrankan pesakit yang mengalami masalah kesihatan yang tidak melibatkan tanda bahaya, orang awam digalakkan untuk berjumpa doktor klinik swasta.

“Profesional perubatan lebih terlatih untuk menilai sama ada sesuatu keadaan memerlukan rawatan kecemasan atau boleh dirawat di peringkat penjagaan primer.

“Pendekatan ini membantu pesakit mendapat rawatan yang sesuai dan pada masa yang sama memastikan JKT dapat memberi fokus kepada pesakit yang benar-benar kritikal,” katanya. – UTUSAN

Panduan untuk orang awam bagi mengenali masalah kesihatan dialami sebelum ke JKT hospital kerajaan:

* Sakit dada yang kuat atau sesak nafas
Terutama jika berlaku secara tiba-tiba, berpanjangan, atau disertai peluh sejuk dan pening.

* Kehilangan kesedaran atau pengsan
Walaupun seketika, lebih-lebih lagi jika berlaku tanpa sebab yang jelas atau berulang.

* Pendarahan yang banyak dan tidak berhenti
Sama ada akibat kecederaan, kemalangan, atau pendarahan dari dalam badan.

* Kecederaan serius
Seperti kemalangan jalan raya, jatuh dari tempat tinggi, kecederaan kepala, atau tulang patah yang jelas.

* Sawan atau masalah saraf secara tiba-tiba
Termasuk sawan, lumpuh secara mendadak, mulut senget, atau kelemahan sebelah badan yang boleh menandakan strok.

* Demam tinggi berpanjangan dengan tanda bahaya
Seperti sawan, kekeliruan, muntah berterusan, atau sesak nafas terutamanya pada kanak-kanak dan warga emas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×