KUALA LUMPUR: Peningkatan jumlah pesakit kategori hijau di Jabatan Kecemasan hospital kerajaan terus menjadi perhatian apabila hasil tinjauan mendapati faktor kos dan akses rawatan menjadi sebab utama orang ramai sanggup menunggu lama untuk mendapatkan rawatan.
Tinjauan Utusan Malaysia di tiga buah hospital kerajaan di Lembah Klang mendapati, majoriti pesakit kategori hijau terdiri daripada golongan pelajar dan individu berpendapatan rendah yang memilih kemudahan awam atas faktor kos serta kemudahan rawatan yang menyeluruh.
Kategori ‘pesakit hijau’ merujuk kepada kes yang stabil dan tidak mengancam nyawa, namun kehadiran mereka dalam jumlah besar menyumbang kepada kesesakan di Jabatan Kecemasan terutama pada waktu puncak.
Rata-rata responden yang ditemui mengakui, walaupun sedar perlu menunggu beberapa jam bagi kes tidak kritikal, mereka tetap memilih hospital kerajaan berbanding hospital swasta.
Seorang pelajar universiti yang mahu dikenali sebagai Aminah berkata, faktor kewangan menjadi pertimbangan utama dalam membuat keputusan mendapatkan rawatan.
“Sebagai pelajar, saya memang lebih cenderung ke hospital kerajaan kerana kosnya rendah dan berpatutan. Kami belum ada pendapatan tetap, jadi soal bayaran memang sangat penting,” katanya ketika ditemui.
Menurutnya, walaupun dikategorikan sebagai pesakit hijau dan perlu menunggu lama, beliau memahami sistem saringan yang memberi keutamaan kepada kes kritikal.
“Di jabatan kecemasan, pesakit dirawat ikut tahap kecemasan. Kalau kes kritikal, memang patut didahulukan. Saya tak kisah tunggu sebab keadaan saya tidak serius,” ujarnya.
Menurutnya, hospital kerajaan tetap menjadi pilihan kerana menawarkan rawatan yang jauh lebih murah tanpa mengira latar belakang kewangan pesakit.
Sementara itu, seorang lagi pelajar yang mahu dikenali sebagai Nur Aisyah berkata, kecekapan dan struktur operasi unit kecemasan hospital kerajaan turut mempengaruhi keputusannya.
“Unit kecemasan kerajaan lebih praktikal untuk pelajar kerana sistemnya berasaskan keperluan perubatan segera, bukan keupayaan kewangan. Prosesnya terus dari pendaftaran, saringan, pemeriksaan doktor hingga rawatan,” katanya.
Menurut Aisyah, kebanyakan hospital kerajaan tidak memerlukan deposit atau pengesahan insurans sebelum rawatan diberikan, sekali gus memudahkan pelajar yang tidak mempunyai perlindungan perubatan swasta.
“Ini sangat membantu terutama dalam situasi kecemasan. Kita tak perlu tangguh rawatan semata-mata sebab tak cukup wang atau tiada insurans,” jelasnya.
Tambahnya unit kecemasan awam beroperasi 24 jam dengan pasukan perubatan lengkap serta akses kepada makmal, farmasi dan pakar sekiranya diperlukan.
Berkongsi pengalaman sendiri, Aisyah berkata, dirinya pernah mendapatkan rawatan apabila mengalami jangkitan mata yang teruk sehingga menyebabkan mata merah, bengkak dan sakit.
“Saya terus ke unit kecemasan hospital kerajaan. Walaupun terpaksa menunggu lama bagi disaring jururawat dan diperiksa doktor. Tetapi saya masih diberikan rawatan dan mendapat ubat pada hari yang sama tanpa perlu bayar deposit atau tunggu kelulusan insurans,” katanya. – UTUSAN











