PETALING JAYA: Jumlah pelajar yang memasuki sekolah swasta di seluruh negara meningkat sebanyak 30,652 orang atau kira-kira 50 peratus dalam tempoh tiga tahun sejak 2021.
Timbalan Presiden Persatuan Kebangsaan Institusi-Institusi Pendidikan Swasta (Napei), Dr. Teh Choon Jin berkata, peningkatan itu disebabkan oleh ibu bapa melihat daripada segi nilai pulangan yuran dibayar meskipun menelan kos perbelanjaan tinggi yang mencecah RM30,000 setahun.
Menurut beliau, kemasukan pelajar tempatan ke sekolah swasta meningkat 18.2 peratus daripada 57,363 orang pada 2023 kepada 67,821 orang pada 2024 di sebalik enrolmen oleh pelajar asing.
Choon Jin berkata, terdapat 1,496 sekolah di seluruh negara yang merangkumi 603 sekolah rendah dan menengah swasta termasuk sekolah antarabangsa didaftarkan di bawah Bahagian Pendidikan Swasta Kementerian Pendidikan, manakala selebihnya adalah pendidikan agama.
“Jumlah pelajar sekolah swasta meningkat daripada sekitar 58,300 orang pada tahun 2021 kepada kira-kira 88,951 orang pada 2024, iaitu peningkatan hampir 50 peratus dalam tempoh tiga tahun
“Selain itu, beberapa kategori sekolah swasta mencatat pertumbuhan ketara termasuk sekolah pendidikan khas yang meningkat 32 peratus daripada 728 kepada 966 pelajar serta sekolah menengah akademik swasta yang naik 16.7 peratus daripada 13,862 kepada 16,173 pelajar.
“Secara keseluruhan, jumlah keseluruhan pelajar yang mengikuti pengajian di sekolah swasta dianggarkan seramai 318,264 orang berbanding lebih lima juta pelajar di sekolah kerajaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Choon Jin berkata, peningkatan tersebut bukan semata-mata didorong faktor populariti, sebaliknya perubahan realiti pendidikan termasuk kecenderungan ibu bapa terhadap pilihan lebih fleksibel dan berorientasikan global, walaupun ia bukan bermaksud mereka menolak sistem pendidikan kebangsaan.
Beliau menjelaskan, antara faktor utama ialah kelebihan kurikulum antarabangsa seperti Cambridge dan International Baccalaureate (IB) yang memudahkan laluan ke universiti luar negara.
“Apabila ditanya mengapa ibu bapa memilih sekolah swasta walaupun yuran lebih tinggi berbanding sekolah kerajaan yang rata-ratanya adalah percuma, jawapannya jarang sekali melibatkan satu faktor sahaja.
“Sebaliknya, ia biasanya merupakan gabungan beberapa faktor iaitu melihat masa depan anak dan keyakinan terhadap sistem pendidikan itu sendiri serta nilai pulangan yuran dibayar.
“Malah ibu bapa mencari padanan terbaik untuk potensi anak masing-masing dengan persekitaran pembelajaran dengan saiz kelas lebih kecil dan aktiviti kokurikulum yang turut menjadi faktor tarikan.
“Bahasa pengantar khususnya penggunaan Bahasa Inggeris juga memainkan peranan penting, walaupun ibu bapa tetap menitikberatkan penguasaan Bahasa Melayu dan Sejarah,” katanya.
Beliau berkata, sekolah swasta bukan pengganti sistem pendidikan nasional, sebaliknya sebagai pilihan tambahan untuk ibu bapa yang mengejar pencapaian akademik anak.
“Ibu bapa kini lebih rasional dan realistik. Mereka tidak lagi memilih sekolah berdasarkan nama besar semata-mata, tetapi menilai kecemerlangan anak dan hubungan guru dengan pelajar.
“Ini bukan soal tentang memilih antara sekolah swasta atau sekolah kerajaan. Sebaliknya ia tentang anak-anak, masa depan mereka dan sejauh mana benar-benar meletakkan pendidikan sebagai keutamaan,” katanya. – UTUSAN







