SHAH ALAM: Seorang guru sebuah sekolah swasta dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tiga pertuduhan meliwat dan mencabul dua pelajar lelaki pada bulan lalu.
Bagaimanapun tertuduh, Fikri Zainal Abidin, 38, mengaku tidak bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan yang dibacakan secara berasingan.
Tertuduh, Fikri Zainal Abidin,38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan.
Mengikut dua pertuduhan, lelaki bersatus duda itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki berusia 15 tahun dan dituduh di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Fikri juga didakwa dengan satu pertuduhan iaitu melakukan persetubuhan luar tabii terhadap salah seorang remaja itu mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu dalam asrama kolej berkenaan di Seksyen U1 dan sebuah rumah di Seksyen 18 di sini, antara 20, 23 dan 29 Jun lalu.
Kesemua kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Roshaira Rosly dan K.S Rinisha Priyya tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh yang tidak diwakili peguam.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam kemudian merayu supaya dibenarkan dibebaskan dengan jaminan atas alasan menanggung ibu bapa, selain mahu melantik peguam.
Bagaimanapun, Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud menolak permohonan itu dengan menegaskan keselamatan mangsa merupakan pertimbangan utama mahkamah.
“Kamu dihantar untuk direman di Penjara Sungai Buloh dan boleh membuat permohan mendapatkan peguam di sana,” katanya.
Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 10 Ogos bagi sebutan semula kes.
Pada Sabtu lalu, Utusan Malaysia melaporkan dua kanak-kanak lelaki mendakwa dicabul dan diliwat oleh seorang pekerja tempat mereka bersekolah di sebuah kolej di Glenmarie, di sini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, polis menerima laporan daripada kedua-dua pelajar berusia 15 tahun itu yang mendakwa kejadian tersebut berlaku di tandas asrama dan rumah suspek. – UTUSAN










