Hanafiah mengaku tak bersalah, jalankan tugas seperti biasa

Hanafiah mengaku tak bersalah, jalankan tugas seperti biasa

HANAFIAH Mat (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu semalam atas dua tuduhan menggunakan kedudukan untuk kepentingan ahli keluarganya pada 2018 dan 2020. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Datuk Hanafiah Mat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas dua tuduhan menyalahgunakan kuasa dengan mengarahkan dua anak lelakinya bekerja di syarikat milik kerajaan (GLC).

Beliau dalam masa yang sama tetap terus menjalankan tugasnya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pemba­ngunan Luar Bandar Terengganu seperti biasa.

Kesalahan itu didakwa dilakukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai berusia 66 tahun tersebut pada enam dan lapan tahun lalu.

Beliau membuat pengakuan berkenaan sebaik sahaja kedua-dua pertuduhan selesai dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustapha.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Hanafiah didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Terengganu dan Pengerusi Pangkalan Bekalan Kemaman Sdn. Bhd. (PBKSB) untuk suapan bagi anaknya, Mohd. Najmi.

Perbuatan itu didakwa dilakukannya di pejabat Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) Berhad, Pengkalan Bekalan Kemaman, Teluk Kalong, Kemaman pada 15 Ogos 2018.

Dia turut didakwa melakukan perbuatan sama bagi seorang lagi anak lelakinya iaitu Ahmad Kamil di pejabat sama pada 18 Jun 2020.

Bagi kedua-dua pertuduhan, Hanafiah didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan wang jaminan RM30,000 dan seorang penjamin selain menetapkan sebutan semula kes pada 12 April ini.

Hanafiah juga diarah me­lapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terdekat sebelum 5 hari bulan sehingga prosiding selesai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×