PETALING JAYA: Sebanyak 186 kes kecurian kabel sepanjang tahun lalu melibatkan kerugian mencecah RM2.2 juta direkodkan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di seluruh negara.
KTMB berkata, kegiatan jenayah itu bukan sahaja menyebabkan kerosakan harta benda malah menjejaskan infrastruktur kritikal negara membabitkan sistem isyarat dan keselamatan perkhidmatan rel.
Katanya, antara sektor yang dikenal pasti berlaku kes kecurian kabel adalah membabikan laluan Ipoh-Padang Besar, Rawang-Ipoh, Lembah Klang serta Gemas-Johor Bahru manakala bagi sektor selatan pula iaitu laluan Kulai-Kempas Bahru.
“Kejadian terbaharu pada 20 Februari lalu merupakan kes ketiga membabitkan kecurian kabel di kawasan Kulai-Kempas Bahru.
“Dalam kes ini, nilai kerugian sebenar masih dalam siasatan beberapa pihak termasuk kontraktor yang terlibat dalam kerja penyelenggaraan kerana ia merupakan laluan baharu.
“Ini merupakan jenayah serius kerana kabel rel adalah sebahagian daripada infrastruktur kritikal negara yang berkait secara langsung dengan sistem keselamatan dan operasi tren,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Katanya, kesalahan mencuri atau mensabotaj aset rel boleh dikenakan tindakan tegas di bawah Akta Keretapi 1991 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, termasuk hukuman denda dan penjara jika sabit kesalahan.
Katanya, kecurian kabel akan menjejaskan keselamatan dan operasi tren kerana kabel rel digunakan bagi menyokong sistem isyarat, komunikasi serta pengesanan tren.
“Sekiranya kabel dipotong atau dicuri, sistem tidak dapat mengesan kedudukan tren dengan tepat dan isyarat berisiko gagal berfungsi.
“Keadaan itu memaksa pihak operasi mengeluarkan arahan memperlahankan tren demi menjamin keselamatan, sekali gus menyebabkan kelewatan perjalanan dan dalam sesetengah kes, pembatalan perkhidmatan.
“Gangguan di satu-satu sektor landasan turut memberi kesan rantaian terhadap keseluruhan jadual perjalanan kerana operasi tren saling berkait antara satu sama lain di sepanjang jajaran utama,” katanya.
Sehubungan itu, KTMB menyokong usaha Kementerian Pengangkutan yang kini bekerjasama rapat dengan Kementerian Dalam Negeri bagi meneliti serta menggubal pindaan undang-undang untuk memperketat dan memperberat hukuman terhadap pihak yang terlibat dalam kecurian atau sabotaj infrastruktur negara.
Pada 20 Februari lalu, KTMB berjaya menggagalkan cubaan mencuri kabel sepanjang kira-kira 250 meter di laluan Kempas Baru-Kulai, Johor.
KTMB dilaporkan berkata, anggota bertugas mengesan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di kilometer 728.25 di antara laluan tersebut pada pukul 11.30 malam.
Suspek dipercayai sedang melakukan aktiviti memotong kabel sebelum cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota keselamatan.
Pada 5 Februari lalu, media melaporkan kecurian kabel tidak seharusnya dilihat sebagai jenayah kecil semata-mata, sebaliknya boleh dianggap sebagai tindakan sabotaj kerana kesannya yang meluas kepada sistem pengangkutan awam dan orang ramai.-UTUSAN.











