55 sindiket warga asing terlibat dadah

55 sindiket warga asing terlibat dadah

HUSSEIN OMAR KHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 20,639 warga asing ditahan kerana disyaki terlibat dalam pengedaran dan penyalahgunaan dadah sepanjang tahun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 55 sindiket warga asing dikenal pasti terlibat dalam aktiviti berkenaan.

Menurut beliau, pengliba­tan warga asing serta sindiket rentas sempadan dalam kegiatan pengedaran dadah dikesan masih berlaku secara terancang, khususnya dalam usaha menem­busi pasaran tempatan.

“Terdapat sindiket terbabit dikesan turut membawa masuk bahan kimia dan ahli kimia dari China sebelum menjalankan aktiviti haram itu bagi menghasilkan dadah.

“Sindiket ini memanfaatkan kedudukan Malaysia sebagai negara transit serta jaringan serantau dan antarabangsa bagi membawa masuk bekalan dadah secara berperingkat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Hussein Omar berkata, sindiket dadah itu menggaji individu tempatan sebagai keldai dadah, ejen penghantaran atau operator peringkat hadapan, manakala perancang utama beroperasi dari luar negara.

“Sindiket ini memanfaatkan teknologi digital, perkhidmatan kurier dan platform e-dagang bagi memudahkan pergerakan bekalan bagi membawa masuk dadah dari luar negara, memproses di Malaysia untuk pasaran tempatan dan luar.

“Mereka (sindiket) atau dalang dikesan menggajikan rakyat tempatan dengan kadar bayaran mencecah RM20,000 sebulan bagi mengoperasikan kegiatan ini termasuk mencari lokasi bagi makmal memproses dadah. Sindiket ini turut membawa ahli dan bahan kimia mela­lui jalan sah.

“Sepanjang tahun lalu, sebanyak 19 makmal dadah haram ditumpaskan oleh JSJN Bukit Aman, 17 makmal beroperasi di Kuala Lumpur dan Selangor manakala dua lagi di Johor dan Pulau Pinang.

“Operasi ke atas makmal-makmal haram ini telah membawa kepada rampasan keseluruhan sebanyak 33,267 kilogram pelbagai jenis dadah,” katanya.

Katanya, sindiket asing dikesan menggunakan kilang, rumah, pejabat dan kebun yang kelihatan seperti bagi kegiatan memproses dadah selain sukar dikesan pihak berkuasa.

“Berbanding kawasan terpencil, premis di kawasan perumahan atau industri bercampur menjadikan bau bahan kimia, bunyi mesin dan penggunaan elektrik tinggi kurang menonjol.

“Premis ini sudah mempunyai bekalan elektrik, air, sistem pengudaraan dan ruang tertu­tup. Sebagai contoh, kita berjaya membongkar makmal haram memproses syabu dalam sebuah kebun durian di Balik Pulau, Pulau Pinang serta merampas 1.2 tan pelbagai jenis dadah bernilai RM38 juta,” katanya.

Menurutnya, siasatan polis mendapati kebanyakan makmal haram memproses dadah syabu, MDMA atau ekstasi, nimetazepam (Erimin 5) dan kokain.

Jelasnya, dadah-dadah ini diproses secara tempatan bagi memenuhi permintaan pasaran domestik, mengurangkan kebergantungan kepada penyeludupan rentas sempadan serta meminimumkan risiko pengesanan semasa kemasukan ke negara ini.

“Data ini menunjukkan bahawa penglibatan warga asing dalam aktiviti berkaitan dadah kekal signifikan dan cende­rung meningkat membabitkan pengedaran, penyeludupan serta penyalahgunaan dadah.

“Ini sekali gus mengesahkan bahawa isu dadah di Malaysia mempunyai dimensi transnasional dan berkait rapat dengan pergerakan manusia serta jari­ngan jenayah rentas sempadan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN