Suami, anak terbang ke Jeddah, reda pemergian Nadia Kesuma

Suami, anak terbang ke Jeddah, reda pemergian Nadia Kesuma

MUHAMMAD Kamarul Kabilan Abdullah sedang menghubungi seseorang ketika tiba di LTAPP di Bayan Lepas, Pulau Pinang sebelum berlepas ke Jeddah, Arab Saudi pagi semalam untuk urusan pengebumian isterinya, Nadia Kesuma di sana. - UTUSAN/SAFINA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Suami kepada pelakon, Nadia Kesuma atau nama sebenarnya Nadiah Kasumawati Abdul Karim, 50, reda selepas menerima perkembangan terbaharu mengenai isterinya itu.

Prof. Dr. Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah, 57, berkata, dia telah dihubungi oleh Wisma Putra malam tadi bagi memaklumkan bahawa wanita tersebut telah meninggal dunia di Jeddah pada 15 Januari lalu.

“Wisma Putra ada hubungi saya untuk maklumkan bahawa perkara itu (kematian isteri) memang berlaku dan mereka ada butiran lanjut mengenainya. Bagaimanapun, saya diminta untuk menunggu kenyataan rasmi (daripada Wisma Putra),” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di sini, semalam.

Muhammad Kamarul yang juga merupakan pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, dia dan salah seorang anak perempuannya akan berlepas ke Jeddah, Arab Saudi untuk membantu urusan pengebumian isterinya di sana.

“Kami akan ke Jeddah kerana jenazah (Nadia Kesuma) dikebumikan di sana,” katanya yang menaiki penerbangan ke sana kira-kira pukul 11 pagi semalam.

Muhammad Kamarul turut meminta semua pihak supaya bersabar dan menunggu kenyataan rasmi daripada Wisma Putra buat masa ini bagi mengelakkan sebarang kekeliruan atau spekulasi tidak berasas mengenai kematian isterinya itu.

Nadia yang pernah membintangi filem Syaitan Munafik sebelum ini gagal dikesan selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz semasa menyertai Pakej Umrah Ziarah London dan Paris bersama seramai 21 orang jemaah lain.

Berita kehilangan wanita itu dimaklumkan oleh rakan baiknya yang juga merupakan Presiden Gagasan Transformasi Anak Seni (GTAS) iaitu pelakon Anne Abdullah.

Bagaimanapun, awal pagi tadi, anak perempuan Nadia yang dikenali sebagai Myra memuat naik satu status menerusi platform Threads mengenai kematian ibunya yang dipercayai berpunca daripada sakit jantung. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×