PETALING JAYA: Agensi pelancongan, Nuh Travel & Tours Sdn Bhd (Nuh Travel) memaklumkan pihaknya telah berusaha sedaya upaya sepanjang tempoh pencarian Allahyarham Nadia Kesuma.
Menurut Nuh Travel, usaha berkenaan turut melibatkan kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk Wisma Putra, Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah dan wakil muassasah.
“Pemergian Allahyarhamah amat mengejutkan dan memberi kesan yang besar kepada pihak keluarga, kenalan terdekat serta kami di Nuh Travel.
“Pihak Nuh Travel ingin merakamkan ucapan takziah yang setulusnya kepada seluruh ahli keluarga Allahyarhamah Puan Nadiah.
“Kami mendoakan agar keluarga diberikan ketabahan, kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi ujian yang amat berat ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, agensi berkenaan turut memohon agar orang ramai menghormati privasi keluarga Nadia atau nama sebenarnya Nadiah Kasumawati Abdul Karim serta mengelakkan sebarang spekulasi yang boleh menambahkan kesedihan pihak yang terlibat.
“Sesungguhnya kami amat berdukacita dengan pemergian ini dan akan terus memberikan kerjasama sepenuhnya dalam pengurusan serta perkara-perkara berkaitan yang diperlukan dalam proses ini.
“Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarhamah, mengampunkan segala dosanya dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang beriman serta beramal soleh,” katanya. – UTUSAN










