PETALING JAYA: Sebarang reformasi yang dilaksanakan Kementerian Pertahanan dalam proses tender dan sistem perolehan perlu digerakkan secara menyeluruh dan berterusan bagi memastikan ketelusan serta keberkesanan pelaksanaannya.
Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Teknologi Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Mujahid Ahmad Zaidi, pemisahan fungsi itu perlu dilaksanakan secara jelas dan tegas bagi mencegah salah guna kuasa serta rasuah daripada berulang pada masa hadapan.
Katanya, pengasingan mutlak antara penilaian teknikal, komersial dan keselamatan perlu diwujudkan agar pertemuan langsung antara pembekal dan pegawai perkhidmatan tidak lagi diperlukan.
Beliau berkata, pendekatan perolehan juga wajar dibezakan mengikut tahap risiko kerana tanpa pembaharuan institusi yang menyeluruh, pelaksanaan pelan antirasuah amat berisiko untuk gagal.
“Perolehan aset persenjataan dan sistem strategik perlu dilaksanakan menerusi tender terhad atau kaedah Kerajaan dengan Kerajaan (G2G) yang disertai audit ketat.
“Manakala perolehan rutin seperti bekalan makanan dan pakaian boleh dilaksanakan melalui tender terbuka secara digital sepenuhnya.
“Semua bentuk komunikasi perlu dilaksanakan menerusi sistem rasmi yang boleh diaudit bagi menutup ruang kepada aktiviti melobi secara tidak langsung serta pengaruh orang tengah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Akhbar ini semalam melaporkan, transformasi baharu pelan anti rasuah Kementerian Pertahanan melibatkan proses tender dan sistem perolehan perlu dilaksanakan secara ketat dan lebih tegas.
Seorang bekas Jeneral Tentera Darat yang enggan dinamakan berkata, proses tender dan perolehan juga perlu dikawal di peringkat dalaman dengan kaedah ‘tertutup’ bagi mengelakkan eksploitasi pihak tertentu.
Sementara itu, Penganalisis Keselamatan dan Geopolitik dari Universiti Utara Malaysia, Profesor Madya Dr. Mohamad Faisol Keling berkata, atas faktor keselamatan negara, perolehan tertentu khususnya aset pertahanan strategik perlu dilaksanakan secara tertutup.
“Namun, proses pemilihan tidak boleh tertumpu kepada satu pihak sahaja. Ia perlu melibatkan Ketua Setiausaha (KSU), wakil semua cabang ATM serta Menteri Pertahanan sendiri bagi mengelakkan sebarang elemen salah guna kuasa.
“Penglibatan pihak yang arif dalam keperluan dan kelengkapan ketenteraan penting bagi memastikan keputusan dibuat secara seimbang dan berintegriti,” katanya.
Beliau berkata, bagi perolehan kritikal seperti aset persenjataan, proses perolehan boleh dilaksanakan secara tertutup atas faktor keselamatan.
“Namun, sistem penapisan dan penilaian perlu dilakukan secara telus, berstruktur dan boleh diaudit bagi memastikan tiada campur tangan pihak ketiga atau orang tengah, sekali gus mengekalkan kerahsiaan serta integriti proses perolehan,” katanya. – UTUSAN










