KOTA TINGGI: Kerajaan tidak mempertimbangkan sebarang perolehan aset pertahanan daripada Norway pada masa hadapan susulan tindakan negara itu membatalkan lesen eksport peluru berpandu anti kapal (NSM) yang telah dipersetujui sebelum ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara itu telah dimaklumkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam dan mendapat persetujuan kerajaan.
Beliau berkata, kerajaan juga akan meneliti semula kedudukan kontrak lain sedia ada dengan Norway dan berkemungkinan tidak akan menyambungnya apabila tempoh kontrak berkenaan berakhir.
“Tindakan itu wajar kerana Norway tidak menghormati Malaysia apabila membatalkan lesen eksport NSM secara unilateral, walaupun kontrak telah ditandatangani sejak 2018 dan bayaran sudah dibuat, ” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Ziarah Kasih di Felda Pasak, Kota Tinggi, di sini hari ini.
Kerajaan Norway sebelum ini membatalkan lesen eksport peluru berpandu NSM kepada Malaysia serta sistem pelancar berkaitan atas alasan untuk melindungi keselamatan negara itu.
Menurut laman sesawang KDA, perolehan NSM dimeterai di antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan KDA pada April 2018 dengan nilai kontrak kira-kira RM571.9 juta bagi melengkapkan enam kapal tempur pesisir (LCS) baharu.
Susulan itu, Malaysia menuntut RM1.06 bilion daripada KDA ekoran pembatalan NSM dengan merangkumi tuntutan langsung sebanyak kira-kira RM604 juta iaitu bayaran yang sudah dibuat oleh kerajaan. – UTUSAN










