Malaysia perluas perolehan aset pertahanan secara G2G

Malaysia perluas perolehan aset pertahanan secara G2G

MOHAMED Khaled Nordin hadir pada Program Kesejahteraan Warga ATM, Zon Selatan, di Padang IJED si Rusa, Port Dickson, hari ini.-UTUSAN/MOHD SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Malaysia akan memperluaskan kaedah perolehan kerajaan dengan kerajaan (G2G) bagi projek-projek pertahanan tertentu sebagai pendekatan baharu untuk memastikan urusan lebih telus, memperoleh harga berpatutan serta jaminan pelaksanaan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, projek-projek pertahanan yang dikenal pasti akan dilaksanakan menerusi kaedah G2G selepas sebelum ini perolehan dibuat melalui tender melibatkan syarikat pengeluar peralatan asal (OEM) dan syarikat-syarikat lain.

Katanya, setakat ini Malaysia telah menandatangani dua memorandum persefahaman (MoU) bagi melaksanakan kaedah perolehan tersebut iaitu masing-masing dengan Turkiye dan Korea.

“Beberapa negara lain termasuk Itali dan Perancis turut menyatakan kesediaan untuk melaksanakan kerjasama perolehan secara G2G. Memang ini merupakan satu kaedah baharu yang akan kita laksanakan.

“Pada masa sama, kita mahu memastikan negara yang menjadi rakan kerjasama ialah negara yang boleh kita percayai dan bersedia memindahkan teknologi kepada negara kita bagi membantu negara kita membangunkan industri pertahanan tempatan.

“Justeru, terdapat beberapa kriteria yang akan kita gunakan dalam memilih negara yang terlibat. Jadi memang itu satu kaedah yang akan kita amalkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program Kesejahteraan Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Zon Selatan di Padang Institut Kejuruteraan Tentera Darat (IJED), Kem Sirusa, di sini hari ini.

Menurut Mohamed Khaled, antara kelebihan kaedah G2G ialah kerajaan memperoleh harga yang berpatutan dan menerima jaminan pelaksanaan daripada negara yang menjadi rakan urusan.

“Saya percaya apabila urusan dibuat secara kerajaan dengan kerajaan, ia dilaksanakan secara telus dan harganya lebih baik daripada kaedah lain.

“Yang penting, perkhidmatan serta spesifikasi yang diperlukan oleh setiap cabang perkhidmatan sama ada darat, laut atau udara dapat dipenuhi.

“Bukan bermaksud kerajaan membuat keputusan secara bersendirian, sebaliknya ia dilaksanakan dengan kerjasama setiap perkhidmatan yang memerlukan peralatan tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN