Helikopter Super Lynx mendarat cemas, seorang kru masuk ICU

Helikopter Super Lynx mendarat cemas, seorang kru masuk ICU

ADLY Zahari melawat Mohamad Zulfika Mohiddi di Unit Kecemasan Hospital Melaka, semalam. – UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang kru helikopter Super Lynx milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terlibat dalam insiden pendaratan cemas di perairan Pantai Klebang di sini, pada pukul 10.50 malam semalam kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, Leftenan Afiq Muzani Abdul Aziz mengalami masalah paru-paru berikutan kemalangan yang berlaku.

Katanya, seorang lagi mangsa, Bintara Kanan Juruteknik Marin Mohamad Zulfika Mohiddi masih mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan hospital sama.

“Dua lagi mangsa iaitu Leftenan Muhamad Kamal Abdul Rani dan Leftenan Mohammad Faiz Razali telah dibenarkan keluar dari hospital hari ini.

“Kita sedang mengusahakan Mohammad Zulfika untuk dipindahkan ke Hospital Angkatan Tentera di Lumut untuk memudahkan rawatan susulan dilakukan ke atas mangsa,” katanya ditemui selepas melawat kedua-dua mangsa semalam.

Ditanya mengenai punca insiden, Adly berkata, lembaga siasatan telah ditubuhkan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Beliau berkata, usaha sedang dijalankan untuk membawa pulang helikopter yang tenggelam di perairan ke Pangkalan TLDM di Lumut, Perak.

Terdahulu, TLDM memaklumkan, insiden tersebut berlaku ketika helikopter sedang melaksanakan penerbangan demonstrasi sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Ke-60 Grup Gerak Khas (GGK), Tentera Darat di Encore, Klebang.

Empat kru yang berada dalam helikopter berjaya diselamatkan dan dibawa ke Hospital Melaka untuk menjalani pemeriksaan lanjut.

Sementara itu, Mohamad Zulfika yang ditemui berkata, beliau tidak ingat apa yang berlaku kerana insiden tersebut berlaku sangat pantas.

“Tiba-tiba saya sedar berada di permukaan air sebelum disusuli tiga lagi rakan yang lain. Saya adalah orang kedua yang timbul di permukaan air disusuli Muhamad Kamal Abdul Rani dan Afiq Muzani Abdul Aziz.

“Saya lihat keadaan Afiq Muzani sangat parah apabila melihat dia muntah darah tetapi dia masih mampu membawa kami ke pantai.

“Keadaan saya ketika itu tidak boleh bergerak kerana kecederaan di pinggang dan betis kanan. Alhamdulillah mujurlah kami semua selamat,” ujarnya yang telah berkhidmat selama 13 tahun dalam TLDM. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN