Malaysia tuntut RM1.06 Bilion daripada syarikat Norway

Malaysia tuntut RM1.06 Bilion daripada syarikat Norway

JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia menuntut sebanyak EUR226.13 juta atau kira-kira RM1.06 bilion daripada syarikat pertahanan Norway, Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA) ekoran pembatalan perolehan misil anti kapal (NSM).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, jumlah itu merangkumi tuntutan langsung sebanyak EUR129.86 juta iaitu bayaran yang sudah dibuat oleh kerajaan.

Beliau berkata, tuntutan tidak langsung adalah sebanyak EUR96.26 juta yang membabitkan implikasi kos dan kesan sampingan akibat kegagalan pembekalan sistem berkenaan.

“Berhubung isu pembatalan lesen eksport NSM oleh kerajaan Norway, pada masa ini jumlah sebenar kos tambahan atau ‘overrun cost’ yang akan ditanggung oleh kerajaan masih belum dapat dimuktamadkan kerana bergantung kepada kaedah penyelesaian yang akan dipersetujui serta pilihan penggantian sistem persenjataan yang sedang dinilai,” katanya dalam jawapan bertulis dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) yang meminta kerajaan menyatakan status pelaksanaan Sea Trial Kapal KD Maharaja Lela oleh pihak Lumut Naval Shipyard (LUNAS) yang dilaksanakan pada hari terakhir bulan April 2026 dan berapa jumlah kos overrun yang mungkin terpaksa ditanggung oleh kerajaan akibat pembatalan kontrak peluru berpandu jenis NSM dari Norway.

Mengulas mengenai KD Maharaja Lela, Mohamed Khaled berkata, beberapa siri ujian dan penilaian dilaksanakan secara berperingkat bagi mengesahkan prestasi platform, sistem navigasi, sistem pendorongan dan sistem-sistem utama kapal sebelum proses penerimaan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Kementerian dimaklumkan bahawa pelaksanaan Sea Trial yang dilaksanakan oleh Lumut Naval Shipyard (LUNAS) pada 29 April lalu sudah berjalan mengikut perancangan yang ditetapkan serta menunjukkan kemajuan positif.

“Penerimaan rasmi kapal tertakluk kepada penyempurnaan Sea Acceptance Trial, pembetulan sebarang penemuan teknikal dan pengesahan akhir oleh TLDM,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN