CIMIC: Kepakaran hiperbarik TLDM bantu komuniti penyelam rekreasi

CIMIC: Kepakaran hiperbarik TLDM bantu komuniti penyelam rekreasi

PENYELAM TLDM bergambar bersama Panglima Selam dan Peperangan Periuk Api, Laksamana Pertama Ahmad Nazree Abu Hassan, sempena pelaksanaan Latihan BARRACUDA Siri 2/26 baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peranan dan sumbangan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) khususnya yang cukup besar tidak hanya terhad kepada keamaan serta kedaulatan negara semata-mata, sebaliknya turut diterima masyarakat umum.

Namun, di sebalik tanggungjawab mempertahankan perairan negara, TLDM turut berperanan penting dalam membantu masyarakat menerusi program Kerjasama Awam-Tentera (CIMIC) dengan menyediakan kemudahan serta kepakaran yang dimiliki termasuk rawatan hiperbarik kepada penyelam rekreasi yang berdepan masalah selepas melakukan aktiviti berkenaan.

Ini terbukti menerusi kemudahan Recompression Chamber (RCC) atau lebih dikenali sebagai kebuk mampat merupakan antara aset strategik TLDM yang bukan sahaja menyokong operasi ketenteraan, malah menjadi talian hayat kepada penyelam yang mengalami Decompression Sickness (DCS) atau penyakit penyahmampatan.

Menurut Pegawai Memerintah KD DUYONG, Komander Mohammad Kamil bin Abdul Rahman TLDM, DCS berlaku apabila gas lengai (inert gas) yang diserap oleh badan semasa penyelaman tidak dapat dikeluarkan secara semula jadi disebabkan tidak mematuhi kadar kenaikan selamat atau tidak mengikut jadual dekomprasi yang ditetapkan serta beberapa faktor lain.

“Antara gejala yang dialami oleh mangsa termasuk sakit sendi, kebas atau lemah anggota badan, pening, sesak nafas dan dalam kes yang serius boleh menyebabkan lumpuh atau mengancam nyawa sekiranya rawatan hiperbarik tidak diberikan,” katanya kepada Utusan Malaysia baru- baru ini.

Setakat ini katanya, TLDM mempunyai 14 Recompression Chamber (RCC) yang terdiri daripada tiga jenis iaitu Ten Men, Six Men dan Two Men Two Compartment mengikut keperluan pengoperasian TLDM.

Sebanyak lima buah Ten Men RCC dalam inventori TLDM yang mana setiap RCC ditempatkan di unit dan markas bagi Penyelam Ranjau TLDM mengambil kira keperluan utama iaitu KD DUYONG, Markas Pemerintahan Armada Timur (MPA Timur), Markas Wilayah Laut 1 (MWL 1), Markas Wilayah Laut 2 (MWL 2) dan KD SRI SEMPORNA (KDSM).

Selain itu, 2 buah Six Men RCC juga ditempatkan di KD DUYONG dan juga kapal TLDM iaitu KD SRI INDERA SAKTI (KD SIS).

Manakala bagi Two Men Two Compartment RCC ditempatkan di semua Pasukan Selam bagi memenuhi keperluan operasi di lapangan, meliputi 3 buah di KD DUYONG serta masing-masing 1 buah di MPA Timur, MWL 1, MWL 2 dan MWL 3.

Menurut Mohammad Kamil, kemudahan RCC TLDM turut digunakan orang awam dan terhad kepada rawatan penyakit aktiviti (diving illness) dengan tertakluk kepada penilaian serta kelulusan Diving Medical Officer (DMO) sebelum ia dilaksanakan.

“Walaubagaimanapun, RCC di KD DUYONG diutamakan bagi menyokong keperluan operasi TLDM. Keperluan rawatan untuk orang awam di sekitar Lumut akan dirujuk ke 96 Hospital Angkatan Tentera, Lumut,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mohammad Kamil berkata, sebanyak 61 kes melibatkan penyelam rekreasi dalam kalangan orang awam telah menerima rawatan menggunakan RCC milik TLDM bagi tempoh 2022 hingga 2026.

Menurutnya, semua rawatan yang diberikan berjaya dilaksanakan mengikut prosedur rawatan hiperbarik yang ditetapkan.

“Majoriti kes melibatkan penyelam rekreasi adalah dari kawasan Kota Kinabalu dan Semporna, Sabah. Keadaan ini adalah disebabkan kedudukan lokasi tersebut sebagai destinasi utama aktiviti penyelaman rekreasi yang menjadi tumpuan pelancong tempatan dan antarabangsa,” jelasnya.

Mengulas sama ada DCS merupakan masalah serius dalam kalangan penyelam rekreasi di negara ini, beliau berkata, jumlah kes yang direkodkan adalah rendah kerana setiap penyelam diwajibkan memiliki lesen daripada agensi persijilan seperti PADI, NAUI atau SSI sebelum dibenarkan menyelam.

Katanya, sepanjang kursus tersebut, penyelam dibekalkan dengan pengetahuan berkaitan prosedur keselamatan dan perlu lulus latihan sebelum memperoleh lesen.

“Selain itu, setiap penyelam rekreasi turut diberikan taklimat keselamatan oleh Dive Instructor sebelum selaman dijalankan. Justeru, risiko penyakit penyahmampatan dapat dikawal kerana setiap penyelam berada di bawah pemantauan tenaga pengajar yang bertanggungjawab sepanjang aktiviti berlangsung,” katanya.

Dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan selaman, beliau berkata, TLDM sentiasa berkongsi pengetahuan menerusi penyertaan dalam pameran dan ekspo seperti Malaysia International Dive Exhibition (MIDE) serta Program Keselamatan Menyelam yang dianjurkan badan bukan kerajaan (NGO).

Menurutnya, TLDM juga boleh memperluaskan penyebaran maklumat melalui platform media sosial rasmi Unit Selam seperti KD DUYONG dengan memaparkan kandungan berbentuk pendidikan mengenai risiko penyakit selaman, tindakan kecemasan dan amalan penyelaman selamat.

Menyentuh mengenai latihan kepada penyelam awam, beliau menjelaskan TLDM tidak menyediakan kursus asas perubatan selam kepada penyelam rekreasi.

Katanya, Kursus Pembantu Perubatan Selam dianjurkan oleh Kor Kesihatan Diraja, Tentera Darat Malaysia dan dibuka kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terlibat dalam operasi selaman seperti Penyelam Ranjau TLDM dan Pasukan Khas Laut (PASKAL), selain agensi kerajaan lain termasuk Polis Diraja Malaysia (UTK dan VAT 69), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, tertakluk kepada kekosongan.

“Keutamaan diberikan kepada anggota yang melaksanakan operasi selaman kerana kursus ini melibatkan kepakaran dalam Perubatan Bawah Air dan Hiperbarik, termasuk pengurusan kecemasan berkaitan selaman serta rawatan hiperbarik.

“Bagi penyelam rekreasi awam pula, terdapat pelbagai kursus seperti diving first aid dan rescue diver yang ditawarkan oleh organisasi latihan selam yang diiktiraf,” katanya – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN