BUKIT MERTAJAM: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pembukaan blok baharu Hospital Seberang Jaya (HSJ) sebagai detik yang penuh nilai sentimental buat dirinya, memandangkan beliau pernah terlibat secara langsung dalam pembangunan perkhidmatan kesihatan di hospital berkenaan sejak lebih tiga dekad lalu.
Menurut beliau, hospital itu mula beroperasi dengan konsep kluster pada era 1990-an dan ketika itu, beliau sendiri menjemput sahabat lamanya, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk merasmikan fasiliti berkenaan.
“Walaupun dinamakan blok baharu, hakikatnya ia adalah sebuah hospital tambahan di Seberang Jaya. Selepas 30 tahun, saya kembali ke sini untuk merasmikannya dan ia benar-benar sesuatu yang menyentuh perasaan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian bangunan baharu Hospital Seberang Jaya, di sini hari ini.
Pembinaan Bangunan Multistorey Hospital Seberang Jaya ini merupakan projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10), Rolling Plan 2, dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM371 juta.
Projek ini melibatkan keluasan tanah 3.26 ekar, keluasan binaan 45,415 meter persegi serta merangkumi bangunan setinggi sembilan tingkat. Pembinaan projek bermula pada 16 Mei 2016 dan telah siap sepenuhnya pada 12 April 2025, sebelum mula beroperasi secara berperingkat pada 5 Mei 2025.
Anwar berkata, pembinaan blok baharu tersebut mengambil masa yang lama berikutan beberapa isu pembangunan, namun akhirnya dapat direalisasikan hasil kerjasama erat semua pihak termasuk Kementerian Kesihatan, kerajaan negeri, pihak pengurusan hospital serta kontraktor yang terlibat.
“Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang bertanggungjawab kerana mempercepatkan proses ini. Ini bukan sekadar memenuhi harapan kita di sini, tetapi harapan rakyat yang memerlukan rawatan kesihatan yang lebih baik, berkesan dan segera,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar mengarahkan semua hospital serta agensi kerajaan supaya mengurangkan penggunaan gula dalam penyediaan makanan dan minuman sebagai langkah awal membendung masalah diabetes dan obesiti yang semakin membimbangkan di negara ini.
Beliau berkata, Malaysia kini berada dalam kedudukan antara negara tertinggi di Asia dari segi kadar pengambilan gula dan prevalens diabetes, sekali gus memberi beban besar kepada sistem kesihatan negara.
“Kadang-kadang kita bukan cari rawatan, kita cari penyakit. Kita tahu gula berlebihan membawa penyakit, tetapi budaya itu masih berterusan. Kita belanja puluh bilion untuk perubatan, tetapi rakyat terus mencari penyakit,” katanya.
Menurut Anwar, langkah paling asas perlu bermula di hospital dan klinik kerajaan dengan memastikan minuman yang disediakan mempunyai kandungan gula minimum selain mengehadkan penyediaan kuih-muih yang tinggi gula dalam semua majlis dan jamuan rasmi kerajaan.
Tambah beliau, walaupun Kementerian Kesihatan telah melaksanakan pelbagai kempen kesedaran hasilnya masih belum mencapai tahap yang memuaskan memandangkan Malaysia masih mencatat kadar obesiti nombor satu di Asia manakala diabetes pula berada dalam kedudukan teratas.
“Ini menunjukkan kita belum berjaya sepenuhnya. Masalahnya satu, gula berlebihan. Keduanya, makan berlebihan yang membawa kepada obesiti,” katanya. – UTUSAN










