SEBELUM penularan pandemik Covid-19 kira-kira lima tahun lalu, Tasik Kenyir di Terengganu menerima lebih 800,000 pengunjung dari dalam dan luar negara setahun.
Bagaimanapun, jumlahnya berkurangan dengan drastik selepas pandemik berkenaan. Rekod kedatangan pelancong ke tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara itu menyaksikan penurunan dari 607,398 orang pada 2019 kepada 208,097 pengunjung pada 2020.
Jumlah pelancong meningkat kepada 277,969 orang pada 2021 namun berkurangan kepada 246,896 pelawat pada 2022. Peningkatan pelancong kembali dapat dilihat pada 2023 dan tahun ini setakat hujung Oktober lalu, jumlah pengunjung ke Tasik Kenyir melebihi 300,000 orang.
Tasik Kenyir adalah sebuah tasik buatan dengan keluasan 38,000 hektar. Ia terletak di Hulu Terengganu yang bersempadan dengan Kelantan di sebelah barat dan Pahang di sebelah selatan. Ia berada di bawah pentadbiran kerajaan Terengganu namun aspek pengurusan, program dan aktiviti pelancongan di beberapa kawasan di tasik tersebut turut melibatkan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).
Bagi pencinta alam semula jadi, Tasik Kenyir antara destinasi pelancongan yang menjadi pilihan pelawat. Ia bukan hanya menarik daripada aspek kejernihan air yang menghijau dan keindahan bukit memukau namun menjadi tempat rekreasi dan riadah mendamaikan.
Tasik Kenyir mendapat namanya kerana dikenali sebagai syurga buat kaki pancing apabila pemancing tegar dari seluruh dunia datang ke tasik itu untuk memburu ikan toman, sebarau, kelah dan belida. Ia muncul sebagai antara aset utama pelancongan Terengganu dan menjadi destinasi ekopelancongan popular di Malaysia.
Trend penurunan pelancong sejak kebelakangan ini memerlukan suntikan baharu bagi memperkukuh kedudukan Tasik Kenyir sebagai destinasi pelancongan utama.
Oleh itu itu, TMM2026 menjadi platform terbaik melonjakkan kembali kehadiran pelancong ke situ. Ia menjadi tonggak penting dalam usaha memulihkan dan memajukan industri pelancongan.
Usaha itu turut mendapat sokongan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah yang mempromosikan Tasik Kenyir sebagai destinasi kunjungan sempena TMM2026.
Bagi tujuan itu, program dan aktiviti pelancongan diselaraskan bersama kerajaan negeri untuk memastikan Tasik Kenyir kekal menjadi fokus dan tumpuan pelancong. Ketengah terlibat secara menyeluruh dalam beberapa bahagian yang menjadi tarikan pelancongan, selain turut bekerjasama dengan kerajaan negeri.
Turut dilakukan, kerjasama dengan beberapa pihak dalam mempromosikan Tasik Kenyir sebagai salah satu destinasi wajib dikunjungi menjelang TMM2026.
Jelasnya, TMM2026 menjadi platform terbaik untuk melonjakkan kembali jumlah kedatangan pelancong ke Tasik Kenyir yang disasarkan mencecah sejuta orang pada tahun depan.-UTUSAN.











