KUALA LUMPUR: Mahkamah Rendah Syariah di sini mengeluarkan amaran kepada pelakon, Beego selepas tidak hadir buat kali ketiga ke prosiding cerai yang dimohon oleh isterinya, Linda Hashim.
Hakim Syarie, Farieq Azmi turut memerintahkan agar Beego atau nama sebenarnya Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, 45, hadir ke mahkamah pada 21 Januari 2026 bagi tujuan pengesahan taklik.
Peguam syarie, Nurul Fadzilah Kamaluddin yang mewakili Linda atau nama penuhnya, Norhazlinda Hashim, 41, ketika ditemui media memberitahu mengeluarkan amaran itu selepas pihaknya menimbulkan isu kehadiran pelakon terbabit pada prosiding yang dijalankan secara dalam kamar.
“Perkara ini telah saya bangkitkan di hadapan mahkamah dan hakim mendengar isu kehadiran ini dengan teliti. Sepanjang saya mengendalikan kes ini, pihak defendan tidak pernah melampirkan sebarang dokumen sokongan seperti sijil sakit (MC) atau surat kematian bagi membuktikan alasan ketidakhadiran tersebut,” kata peguam itu.
Bagaimanapun, peguam syarie, Muhammad Akmal Amzan yang mewakili Beego menafikan penangguhan prosiding hari ini adalah disebabkan oleh anak guamnya.
Sebaliknya, peguam itu mendakwa sehingga ini permohonan cerai itu masih belum diterima oleh Beego.
“Hari ini sepatutnya dijadualkan bagi pengesahan taklik. Namun, oleh sebab saman masih belum diserahkan kepada pihak defendan, prosiding itu tidak dapat diteruskan. Oleh itu, pengesahan terpaksa ditangguhkan ke tarikh lain,” katanya.
Tambah Muhammad Akmal, permohonan berkenaan perlu diserahkan terlebih dahulu kepada Beego melalui wakil yang ditetapkan sebelum sebarang pengesahan taklik boleh dibuat oleh mahkamah.
Peguam itu juga menafikan menafikan dakwaan pihak plaintif bahawa Beego sengaja tidak hadir bagi melambat-lambatkan prosiding perceraian.
“Perkara ini telah dibangkitkan di hadapan mahkamah hari ini. Penjelasan kami ialah kehadiran anak guam saya kali pertama tidak dikira kerana saman belum disempurnakan.
“Kali kedua, anak guam saya tidak dapat hadir kerana tidak sihat manakala hari ini beliau tidak dapat hadir berikutan kematian saudara terdekat.
“Oleh itu, ketidakhadiran anak guam saya hanyalah sebanyak dua kali dan bukannya tiga seperti yang didakwa,” katanya.
Selain itu, Muhammad Akmal berkata, ketidakhadiran anak guamnya bukanlah satu isu besar kerana prosiding masih boleh berjalan dengan kehadiran peguam.
“Ia bukan satu isu besar kecuali semasa perbicaraan penuh. Ketika itu, kehadiran anak guam sememangnya diwajibkan,” kata peguam itu.
Linda memfailkan permohonan cerai pada awal Januari lalu. Mereka pernah bercerai pada 27 Mac 2023 namun rujuk semula pada 9 April 2023 sekaligus membatalkan tuntutan nafkah dan hak penjagaan tiga anak mereka.
Aktres itu turut mendedahkan dia dan Beego pernah bercerai buat kali kedua selepas beberapa bulan mereka kembali rujuk iaitu pada April 2023 tetapi mendakwa tidak mendedahkan perihal perceraian kedua kepada umum kerana bimbang dianggap mempermainkan perkahwinan.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada Jun 2013 dan hasil perkahwinan tersebut dikurniakan tiga cahaya mata, Jelita Clarissa, 11, Anggun Cassandra, 10, dan Indah Camelia, 6. – UTUSAN










