KUALA LUMPUR: Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin dan ahli perniagaan, Albert Tei tiba di Mahkamah Sesyen di sini pada pukul 8.05 pagi tadi bagi menghadapi pertuduhan rasuah.
Sejak awal pagi, wakil media mula memenuhi pekarangan kompleks mahkamah meskipun cuaca hujan renyai-renyai.
Kawalan polis turut diperketatkan bagi mengawal pergerakan orang ramai.
Semalam, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengesahkan kedua-dua individu itu akan didakwa hari ini.
Menurut beliau, Shamsul Iskandar dan Albert dijangka berdepan lima pertuduhan berkaitan rasuah.
Empat daripada pertuduhan itu akan disebut di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, manakala selebihnya dijangka dihadapkan di Mahkamah Sesyen Shah Alam.
Azam berkata, siasatan kes berkenaan telah lengkap dan pendakwaan akan dibuat mengikut Akta SPRM 2009.
Shamsul Iskandar akan dituduh mengikut Seksyen 17(a) ASPRM kerana menerima suapan, manakala Tei dituduh mengikut Seksyen 17(b) ASPRM kerana memberi suapan. – UTUSAN










