PARLIMEN: 14,000 kes buli berlaku setiap tahun, sekolah lokasi utama

PARLIMEN: 14,000 kes buli berlaku setiap tahun, sekolah lokasi utama

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lebih 14,000 kes buli dilaporkan berlaku di sekolah rendah dan menengah di seluruh negara setiap tahun, menandakan budaya itu sudah berakar dan membahayakan keselamatan anak-anak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Kajian Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2022 menunjukkan 8.6 peratus pelajar berumur 13 hingga 17 tahun pernah menjadi mangsa.

Kata beliau, kajian itu mendapati pelajar yang pernah menjadi mangsa berhadapan risiko tiga kali ganda untuk mengalami kemurungan atau kecenderungan mencederakan diri.

Malah, katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut merekodkan 160 kes buli meliputi kes buli fizikal dan buli dalam talian dari Ogos hingga Oktober lalu dengan 78 peratus mangsa adalah kanak-kanak berumur enam hingga 17 tahun.

“Secara keseluruhan, statistik ini mengesahkan bahawa sekolah merupakan lokasi utama insiden buli dan kanak-kanak adalah kumpulan paling terdedah.

“Apa yang lebih membimbangkan ialah hakikat bahawa sekolah tempat yang sepatutnya menjadi zon selamat (sebenarnya) adalah lokasi utama berlakunya insiden buli,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan RUU Antibuli 2025 bagi bacaan kali kedua sebelum ia dibahaskan oleh Ahli-ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN