TENOM: Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bukan medan perbalahan atau pertarungan emosi, sebaliknya peluang memilih sebuah kerajaan yang benar-benar mampu menyelesaikan isu asas rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembangunan Sabah memerlukan kerjasama kukuh antara kerajaan Negeri dan Persekutuan, bukannya retorik politik yang menimbulkan perpecahan.
“Pilihan raya bukan pesta, bukan untuk perang atau marah-marah. Kita pilih kerajaan yang boleh buat kerja, bukan yang hanya pandai janji,” katanya dalam Program Rahmah Mesra YAB PM Sayang Sabah bersama pimpinan masyarakat DUN Melalap hari ini.
Anwar meminta rakyat agar menolak politik perpecahan berasaskan kaum, sambil memuji keharmonian masyarakat Sabah yang menjadi contoh di Malaysia.
“Untuk apa Melayu gaduh dengan Melayu? Melayu gaduh dengan Cina? Kita semua rakyat Malaysia. Sabah aman sebab semua hidup bersama,” katanya. – UTUSAN










