PARLIMEN: ‘SPRM ramai pegawai, mengapa tidak boleh kesan menantu Pagoh?’

PARLIMEN: ‘SPRM ramai pegawai, mengapa tidak boleh kesan menantu Pagoh?’

perlembagaan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sidang Dewan Rakyat hari ini sekali lagi kecoh apabila Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang bertikam lidah berhubung isu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap anak dan menantu kepada Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kekecohan itu tercetus selepas Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mempersoalkan kemampuan SPRM mengesan individu berkenaan yang didakwa berada di luar negara, sedangkan laporan media sebelum ini memaparkan kelibatnya.

Katanya, agensi penguatkuasaan itu seharusnya bertindak lebih tegas dan telus dalam siasatan, bukan memberi alasan gagal mengesan lokasi individu terbabit.

“SPRM ada lebih 1,000 pegawai, tapi masih tak boleh kesan anak menantu Pagoh. Media pula boleh tunjuk gambar-gambar beliau. Jadi apa sebenarnya yang berlaku?” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 peringkat jawatankuasa, hari ini.

Bagaimanapun, kenyataan itu mencetuskan reaksi kurang senang daripada Datuk Abdul Khalib Abdullah (PN-Rompin) yang menegur kerana terus mengulangi isu sama dan mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan kemarahan.

“Saya tengok Kota Melaka ini macam tidak tentu hala, cerita benda sama, sakit telinga kami dengar. Banyak lagi masalah rakyat yang perlu dibahaskan,” katanya.

Situasi semakin tegang apabila Poay Tiong membalas dengan menuduh wakil rakyat pembangkang menyokong rasuah, menyebabkan beberapa Ahli Parlimen termasuk dari Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) dan Datuk Dr. Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) bangun membantah dengan kuat.

“Oi, biadab! Itu kerja SPRM, bukan kerja kita nak bawa orang balik. Jangan tuduh bukan-bukan,” tegas Che Mohamad Zulkifly.

Sementara itu, Ahmad Marzuk turut membantah kenyataan berunsur tuduhan itu dengan mengingatkan Poay Tiong supaya menghentikan dakwaan terhadap Pas dan Bersatu.

Keadaan berjaya diredakan selepas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menegur semua Ahli Parlimen agar bertenang dan mematuhi peraturan mesyuarat.

“Sebelah sini pula (pihak pembangkang), sat lagi bila berucap tanya pula. Sebab kita boleh bertanya apa yang kita nak tanya, asalkan bukan benda yang dalam mahkamah. 

“Kalau nak tanya, tanya lah sebab itu soalan, jadi kalau rasakan ada perkara-perkara yang nak tanya silakan, saya tidak akan halang sebab ini ialah medan untuk kita bertanya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN