KUALA LUMPUR: Cadangan untuk menambah jumlah pegawai termasuk penyelidik serta staf sokongan dalam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dikemukakan dalam Dewan Rakyat hari ini sebagai langkah memperkukuh fungsi dan keberkesanan jawatankuasa berkenaan.
Sim Tze Tzin (PH–Bayan Baru) yang juga ahli PAC berkata, beban tugas yang dipikul oleh jawatankuasa itu semakin bertambah dari semasa ke semasa, namun sumber manusia yang ada ketika ini masih belum mencukupi.
Menurutnya, PAC hanya mempunyai empat penyelidik dan bilangan staf sokongan yang terhad, sedangkan setiap laporan yang dikeluarkan memerlukan penelitian dan penyediaan data yang menyeluruh.
“PAC memainkan peranan penting dalam memastikan ketelusan dan akauntabiliti perbelanjaan kerajaan.
“Oleh itu, sudah sampai masanya bilangan penyelidik serta pegawai ditambah bagi meningkatkan kecekapan penyediaan laporan dan sesi prosiding,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, hari ini.
Cadangan berkenaan turut disokong oleh Syahredzan Johan (PH–Bangi) yang berpandangan PAC perlu diperkasa bukan sahaja dari segi bidang kuasa, tetapi juga sumber sokongan teknikal dan pentadbiran.
“Saya bersetuju dengan cadangan itu kerana PAC ialah institusi dwipartisan yang menjadi tunjang kepada sistem semak dan imbang Parlimen. Dengan penambahan tenaga kerja dan penyelidik, PAC dapat melaksanakan tugas dengan lebih efektif dan menyeluruh,” katanya.
PAC berperanan menyemak, menilai serta memastikan perbelanjaan kerajaan dilaksanakan dengan telus dan berhemah.
Jawatankuasa ini juga menjadi rujukan utama dalam meneliti laporan Ketua Audit Negara, bagi memastikan setiap sen wang rakyat dibelanjakan secara bertanggungjawab. – UTUSAN










