SHAH ALAM: Syarikat perkapalan global, A.P. Moller-Maersk (Maersk) mengoperasikan fasiliti logistik terbesar di rantau Asia Pasifik sekali gus memperkukuhkan kedudukannya sebagai hab logistik serantau.
Pusat Pengedaran Mega Maersk (MMDC) berkeluasan hampir 180,000 meter persegi itu dijangka meningkatkan kapasiti gudang Maersk di negara ini sebanyak 30 peratus.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata pelaburan itu membuktikan keyakinan Maersk terhadap potensi Malaysia dalam sektor logistik dan rantaian bekalan global.
“Maersk ialah antara syarikat perkapalan terbesar dunia dan lama bertapak di negara ini. Mereka mempunyai perkongsian strategik dengan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) yang menjadi hab utama aktiviti pemindahan kargo global.
“Lokasi MMDC yang amat strategik berhampiran Pelabuhan Klang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan kawasan perindustrian utama, memudahkan pergerakan perdagangan domestik dan antarabangsa.
“Apabila kemudahan logistik lengkap dan cekap, kita boleh menarik lebih banyak pelabur ke dalam sektor aeroangkasa, elektronik, pembinaan serta industri bernilai tinggi lain,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan MMDC, semalam.
Mengulas mengenai potensi pelaburan Maersk di negeri lain, beliau berkata, kerajaan menggalakkan syarikat itu memperluas rangkaian logistiknya ke utara dan selatan tanah air.
Katanya, kerajaan ketika ini menumpukan kepada keseimbangan pembangunan wilayah, agar sektor industri tidak hanya tertumpu di Lembah Klang.
“Maersk juga mempunyai cawangan di utara dan selatan, dan kita mahu lihat pelaburan seperti ini berkembang ke negeri lain seperti Kedah, Johor serta kawasan industri di pantai timur.
“Di utara kita ada Pulau Pinang dan Kedah, di selatan Johor, manakala pantai timur akan dimanfaatkan melalui Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). Ini semua bagi memastikan industri berkembang lebih seimbang di seluruh negara,” ujarnya. – UTUSAN










