Lori rosak berhenti punca empat kenderaan terbabit kemalangan

Lori rosak berhenti punca empat kenderaan terbabit kemalangan

FADIL MARSUS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Empat kenderaan terlibat dalam kemalangan di Lebuh Raya Lingkaran Tengah (MRR2) menghala ke Sungai Besi, dipercayai berpunca akibat sebuah lori rosak berhenti di lorong kanan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur mengesan satu video tular berdurasi 27 saat di Facebook pada 12.15 tengah hari semalam yang memaparkan kemalangan membabitkan empat kenderaan.

“Hasil semakan lanjut mendapati kemalangan itu berlaku pada 12.50 tengah malam 14 November lalu di mana ia bermula apabila sebuah lori dipandu lelaki berusia 27 tahun mengalami kerosakan enjin dan berhenti di lorong kanan jalan.

“Sebuah Perodua Bezza yang dipandu lelaki berusia 29 tahun kemudiannya berhenti di hadapan lori untuk membantu pemandu lori meletakkan tanda amaran serta membantu mengalihkan kenderaan ke bahu kiri jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fadil berkata, ketika kedua-dua individu berada di belakang lori, sebuah Perodua Myvi dipandu lelaki berusia 48 tahun, datang dari arah belakang melalui lorong kanan gagal menyedari kenderaan yang berhenti tanpa sebarang tanda amaran. 

“Perodua Myvi terbabit kemudian melanggar kedua-duanya sebelum hilang kawalan, berpusing ke arah kiri jalan seterusnya melanggar sebuah motosikal Yamaha ditunggang lelaki berusia 29 tahun di lorong kiri.

“Akibat pelanggaran berangkai ini, kesemua pemandu dan penunggang mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz untuk rawatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, kerosakan membabitkan bahagian belakang lori, bumper belakang Perodua Bezza, kerosakan teruk pada bahagian belakang Perodua Myvi serta kerosakan pada ‘mud guard’, ekzos, nombor pendaftaran dan ‘coverset’ motosikal Yamaha.

“JSPT Kuala Lumpur mengambil tindakan awal termasuk membuat permohonan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian, menjalankan lawatan ke tempat kejadian serta akan merakam percakapan semua pihak terbabit.

“Siasatan turut dijalankan bagi mengesan pemilik akaun yang memuat naik video tular terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Saksi yang melihat kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun HS Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN