PETALING JAYA: Ekonomi Malaysia terus mencatat pertumbuhan memberangsangkan sebanyak 5.2 peratus pada suku ketiga 2025, mengatasi prestasi 4.4 peratus pada suku sebelumnya sekali gus mengukuhkan kedudukan negara dalam persekitaran global yang mencabar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peningkatan itu didorong prestasi kukuh merentas semua sektor, dengan permintaan domestik kekal sebagai pemacu utama apabila berkembang 5.8 peratus.
Katanya, keadaan pasaran buruh kekal stabil, inflasi terkawal serta perbelanjaan isi rumah yang terus meningkat turut menyokong pertumbuhan tersebut.
Pada masa sama, program bantuan sosial kerajaan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) membantu mengukuhkan lagi perbelanjaan pengguna, sekali gus mengekalkan momentum permintaan domestik.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pencapaian itu menunjukkan ekonomi negara berada pada landasan kukuh untuk mencapai sasaran pertumbuhan 4.0 hingga 4.8 peratus bagi tahun ini.
“Dengan permintaan domestik yang berdaya tahan serta pelaburan berterusan dalam sektor bernilai tambah tinggi, kerajaan sedang membina asas ekonomi yang mampan bagi memastikan pertumbuhan dapat dikekalkan,” katanya.
Menurutnya, daripada aspek penawaran, sektor perkhidmatan terus menjadi penyumbang utama apabila berkembang lima peratus, diterajui subsektor makanan dan minuman, penginapan serta pengangkutan dan penyimpanan.
“Sektor pembuatan pula mencatat pertumbuhan stabil 4.1 peratus manakala sektor perlombongan menunjukkan pemulihan ketara pada 9.7 peratus.
Anwar berkata, petunjuk ekonomi lain turut mencatat perkembangan positif, termasuk guna tenaga yang meningkat sebanyak 3.1 peratus kepada 17 juta orang dengan kadar pengangguran kekal rendah pada tiga peratus.
Sementara itu, Anwar kelmarin mengadakan perbincangan menerusi telefon dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengenai perkembangan terbaharu ketegangan di sempadan Kemboja-Thailand.
Menurut Perdana Menteri, perbincangan itu memberi tumpuan kepada usaha mengekalkan kestabilan rantau Asia Tenggara, susulan persetujuan Kemboja dan Thailand untuk terus memilih ruang dialog serta saluran diplomatik sebagai kaedah penyelesaian terbaik.
Katanya, kedua-dua negara telah pun mengundurkan ketumbukan tentera dari kawasan sempadan, selaras dengan pendekatan yang dipersetujui di bawah kerangka Perjanjian Damai Kuala Lumpur.-UTUSAN.










