HAT YAI: Lebih 100 mayat mangsa banjir ditemukan sepanjang tempoh lima hari banjir melanda kawasan bandar ini sejak 22 November lalu.
Jurucakap Pusat Operasi Kecemasan Banjir (FOCEC) Selatan Thai Siripong Angkasakulkiat berkata, jumlah itu dilaporkan oleh Unit Sains Forensik Polis Wilayah 9 malam tadi.
Katanya, setakat ini 85 mayat telah menjalani beberapa proses termasuk bedah siasat, manakala lebih 20 lagi masih dalam siasatan.
“Dalam mesyuarat FOCEC malam tadi, pihak kesihatan melaporkan sejak banjir mula melanda Wilayah Songkhla bermula 22 November hingga semalam, 85 kematian dicatat.
“Daripada jumlah itu 55 kes adalah mati lemas dan 30 lagi akibat lain-lain masalah termasuk sakit tenat. Sebanyak 2o mayat lagi masih dalam siasat.
“Semua mayat kini ditempatkan di Hospital Songklanagarind di sini. Pihak berkuasa juga telah menambah peti simpanan mayat sebagai persediaan kecemasan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Siripong memberitahu, pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan jumlah mayat bagi tempoh lima hari banjir di bandar ini akan meningkat.
Katanya, setakat ini FOCEC tidak mempunyai maklumat sama ada terdapat rakyat Malaysia yang turut meninggal dunia akibat banjir di sini.
“Kami tidak mahu menimbulkan kekeliruan berkenaan jumlah kematian akibat banjir sejak 22 November lalu, dan semua data terbaharu itu dilaporkan oleh Pusat Pentadbiran Situasi Kecemasan Wilayah serta Kementerian Kesihatan.
“Air dijangka surut dan berada di bawah tebing sungai di semua kawasan petang ini. Satu mesyuarat akan diadakan untuk membuat persediaan bagi usaha menyelamat,” ujarnya. – UTUSAN










