AGC hanya fail rayuan atas alasan penghakiman

AGC hanya fail rayuan atas alasan penghakiman

Kawasan Duta Enclave di Jalan Duta, Kuala Lumpur yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan hak milik kerajaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia telah memfailkan notis ra­yuan terhadap sebahagian da­pa­tan Mahkamah Tinggi Kota Ki­nabalu yang dibuat berkaitan de­ngan pemberian khas sebanyak 40 peratus kepada negeri Sabah.

Notis rayuan tersebut difailkan semalam oleh Peguam Negara bagi pihak kerajaan selaku pe­rayu di Mahkamah Rayuan, Putrajaya.

Rayuan itu tidak melibatkan hak Sabah ke atas 40 peratus hasil bersih negeri seperti mana yang diputuskan oleh mahkamah tinggi itu ekoran permohonan semakan kehakiman oleh Sabah Law Society (SLS) pada 2022.

Sekitar Jun 2022, SLS memfailkan permohonan semakan ke­hakiman bagi membatalkan war­ta Kerajaan Persekutuan ber­­kenaan pemberian tahunan se­ba­nyak RM125.6 juta kepada Sa­bah atas dakwaan telah melanggar hak hasil negeri di bawah Per­janjian Malaysia 1963 (MA63) untuk menerima semula 40 peratus.

Kerajaan Persekutuan juga didakwa telah gagal untuk memperbetulkan hak 40 peratus milik Sabah bayaran tahunan bagi tempoh dari 1974 hingga 2021 (dirujuk sebagai Tahun-Tahun yang Hilang) melalui keputusannya, tindakannya dan keingkarannya serta gagal mematuhi Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutu­an (perintah semakan kedua).

Selain Kerajaan Persekutu­an, turut dinamakan sebagai responden ialah Kerajaan Ne­geri Sabah.

Menurut salinan notis yang diperoleh media, kerajaan antara lain merayu terhadap perintah Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Celestina Stuel Galid yang mengarahkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah berbincang mengenai semakan pemberian bagi tempoh bermula 1974 sehingga 2021.

Kerajaan turut merayu terhadap dapatan mahkamah yang menyatakan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah telah menyalahgunakan kuasa mereka dan melanggar kewajiban perlembagaan ma­sing-masing.

Perayu turut merayu terhadap dapatan mahkamah yang menyatakan tiada bukti berhubung kewujudan perbincangan semakan yang sedang berjalan antara Perayu (Kerajaan Persekutuan) dan Responden Kedua (Kerajaan Negeri Sabah) dan penerbitan warta-warta bertarikh 20 April 2022, 24 November 2023 dan 27 Ogos 2025 sebagai tidak sah, tidak rasio­nal, tidak teratur dari segi prosedur dan tidak seimbang.

Turut dirayu ialah terhadap tafsiran dan pemakaian Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh mengenai kajian semula pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak.

Peruntukkan itu antara lain menyatakan apa-apa pemberian gantian atau tambahan hendaklah dikaji semula oleh Kerajaan Persekutuan dan negeri yang berkenaan itu mengikut lat tempoh tertentu dan perlu mengambil kira kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan serta keperluan bagi negeri yang berkenaan.

Selain itu, kerajaan merayu terhadap perintah mahkamah yang mengarahkan perayu membayar hak yang layak diterima sebagai ganti rugi perlembagaan (constitutional da­­mages) atas pelanggaran Perkara 5 dan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan.

Kerajaan Persekutuan juga merayu terhadap perintah mah­kamah yang mengarahkan pe­rayu dan Responden Kedua mengemukakan penyata kiraan bagi hak yang layak diterima selaras dengan semakan tersebut.

Pada 17 Oktober lalu, Mah­kamah Tinggi Kota Kinabalu mengarahkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah perlu berbincang dan membuat semakan berhubung pemberian khas sebanyak 40 peratus kepada negeri itu bagi tempoh bermula 1974 sehingga 2021 dalam masa 180 hari bermula tarikh keputusan itu.

Menurut penghakiman ringkas Hakim Celestina, persoalan utama yang perlu dijawab oleh mahkamah ialah kesan terhadap perintah semakan kedua sekiranya ia benar didapati idak mematuhi Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

“Responden Pertama berhujah bahawa semakan sedang berjalan dari 1974 hingga 2021 tetapi tiada bukti menyokong dakwaan itu. Adalah sesuatu yang agak mengganggu fikiran selama 48 tahun, selepas permohonan ini dibawa (ke mahkamah) buat kali pertama, bukti yang dibawa oleh responen pertama afidavit atau penyataan.

“Sekiranya benar (terdapat semakan), elemen-elemen berikut mesti dibuktikan di mahkamah iaitu mesyuarat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri untuk semakan, tempoh terlibat, persetujuan yang diperlukan untuk pemberian bagi tempoh itu, pengubahsuaian 40 peratus hak dan jumlah yang diperlukan bagi membuat hak 40 peratus di bawah Perintah Yang di-Pertuan Agong. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×