Syarat tunai haji diperketat

Syarat tunai haji diperketat

SYARAT baharu perlu dipatuhi oleh semua bakal jemaah sebelum layak memperoleh visa haji daripada pihak berkuasa Arab Saudi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan Arab Saudi memperketatkan beberapa syarat baharu kepada para jemaah haji tahun hadapan (musim 1447H/2026M) bagi melancarkan perjalanan ibadah rukun Islam kelima itu.

Antara syarat baharu yang ditetapkan ialah melarang jemaah yang menghidap penyakit kronik tidak terkawal atau mengalami penyakit berjangkit termasuk yang menggunakan kerusi roda daripada menunaikan ibadah haji tahun hadapan.

Selain itu, kerajaan Arab Saudi juga dikatakan turut melakukan beberapa perubahan besar seperti tiada lagi Pusat Rawatan Tabung Haji (TH) akan dibuka di Tanah Suci dan semua jemaah haji yang sakit akan dirujuk ke hospital Saudi.

Lagi perubahan, bilangan petugas kesihatan haji akan dikurangkan, tiada lagi Safari Wuquf dan kuota pengiring untuk jemaah uzur, pesakit yang masuk wad tidak berpeluang untuk melaksanakan wuquf dan pengecualian hanya untuk kes Dementia ringan.

Sehubungan itu pemeriksaan haji akan menekankan aspek kebolehan untuk bakal haji berdikari dan cergas untuk lakukan ibadah haji di Tanah Suci, boleh bergerak tanpa bergantung bantuan orang lain.

Mengulas syarat baharu itu, Lembaga TH berkata, syarat berkenaan perlu dipatuhi oleh semua bakal jemaah sebelum layak memperoleh visa haji daripada pihak berkuasa Arab Saudi.

Katanya, antara syarat utama yang ditetapkan ialah jemaah mesti bebas daripada penyakit berjangkit atau penyakit kronik yang tidak terkawal serta berupaya melaksanakan ibadah haji secara kendiri tanpa bergantung kepada bantuan orang lain.

“Bakal jemaah tidak layak menunaikan haji sekiranya disahkan menghidap penyakit atau mempunyai keadaan kesihatan seperti kegagalan buah pinggang kronik, kegagalan jantung atau penyakit jantung serius dan penyakit paru-paru kronik.

“Selain itu, penyakit hati kronik, masalah neurologi atau mental menjejaskan fungsi kognitif dan motor, warga emas dengan demensia atau fizikal yang terlalu lemah.

“Kehamilan berisiko tinggi, penyakit berjangkit aktif dan penyakit kanser yang sedang dalam rawatan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, keselamatan, kebajikan dan keselesaan jemaah Malaysia sentiasa menjadi keutamaan utama dalam setiap operasi haji.

Katanya, TH sentiasa memandang serius aspek kesihatan jemaah, terutama ketika berada di Tanah Suci. Seperti tahun-tahun sebelumnya, sebahagian besar petugas haji akan terdiri daripada pegawai kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Bagi musim Haji 1447H/2026M, TH akan meneruskan penyediaan kemudahan klinik kesihatan di semua bangunan penginapan jemaah di Mekah dan Madinah lengkap dengan klinik pesakit luar serta farmasi yang dikendalikan oleh petugas KKM.

“Bagaimanapun, TH tidak lagi dibenarkan mengendalikan Pusat Rawatan di tanah suci. Sebaliknya, jemaah yang memerlukan rawatan lanjut akan dirujuk ke hospital-hospital kerajaan Arab Saudi dengan pemantauan pakar perubatan dari KKM,” katanya.

Mustakim berkata, TH juga merancang menyalurkan jemaah ke hospital swasta di Arab Saudi sekiranya keadaan memerlukan dengan seramai 225 petugas kesihatan akan ditempatkan bagi musim haji tahun depan.

Katanya, tahap kesihatan yang baik merupakan antara syarat kemampuan (istito‘ah) yang digariskan dalam resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan dan menjadi asas kelayakan bagi setiap bakal jemaah.

“Seperti sebelum ini, bakal jemaah perlu lulus pemeriksaan kesihatan yang dikendalikan oleh KKM sebelum menerima tawaran haji.

“TH akan terus memastikan jemaah Malaysia mendapat perkhidmatan kesihatan terbaik sepanjang berada di tanah suci,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN