Sekolah di Jakarta kerap terima ancaman bom palsu

Sekolah di Jakarta kerap terima ancaman bom palsu

PIHAK berkuasa di Jakarta tetap mempertingkatkan rondaan bagi meredakan kebimbangan ibu bapa dan pelajar.- AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Polis Jakarta meningkatkan keselamatan di seluruh sekolah antarabangsa, susulan beberapa ancaman bom yang menyasarkan kampus di Jakarta Utara dan Tangerang Selatan minggu ini.

Walaupun semua insiden itu didapati palsu, pihak berkuasa tetap mempertingkatkan rondaan bagi meredakan kebimbangan ibu bapa dan pelajar.

Kelmarin, polis Jakarta Utara melakukan pemeriksaan menyeluruh di Sekolah Antara Budaya Jakarta Utara (NJIS) di Kelapa Gading selepas menerima ancaman melalui e-mel yang menuntut AS$30,000 (RM126,481) dalam bentuk kripto.

Tiada bahan letupan ditemukan, tetapi insiden itu mendorong Polis Metropolitan Jakarta untuk mengarahkan pengawasan lebih ketat di semua sekolah, terutama yang mempunyai dasar akses terbuka.

“Selepas insiden ini, kami menerima arahan untuk menjalankan operasi keselamatan di semua sekolah, khususnya sekolah antarabangsa.

“Matlamatnya adalah untuk meredakan kebimbangan pelajar, guru dan ibu bapa, selain memastikan sesi pembelajaran berjalan seperti biasa,” kata Ketua Polis Jakarta Utara, Erick Frendriz.

Polis turut menyiasat kemungkinan kaitan antara kes di NJIS dengan ancaman sama yang dihantar ke Sekolah Nanyang di Pagedangan, Kabupaten Tangerang pada Selasa, serta Sekolah Antarabangsa Mentari di Tangerang Selatan.

Kejadian itu menyebabkan kedua-dua sekolah menangguhkan sesi pembelajaran, sementara pasukan pemusnah bom memeriksa premis.

Namun, tiada bahan letupan ditemukan di kedua-dua lokasi.

Erick berkata, polis yang giat mengesan jejak digital suspek mendapati alamat dompet tebusan yang diberikan dalam e-mel tidak sah dan tiada kaitan dengan mana-mana pertukaran kripto di Indonesia, sekali gus menunjukkan ancaman itu bertujuan menakut-nakutkan, bukan pemerasan wang.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN