Pelan damai Trump satu penipuan besar - Abdul Hadi

Pelan damai Trump satu penipuan besar – Abdul Hadi

ABDUL HADI AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pas menyamakan pelan damai Palestin-Israel yang diusulkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dengan burung unta yang cuba menyembunyikan kepala dalam tanah dan cubaan menutup bangkai guna tapak tangan.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, dunia kini sedang ‘digoda’ dengan pelan damai Trump iaitu gencatan senjata di Gaza dengan tawaran memberikan laluan bantuan kemanusiaan serta perdamaian kekal di wilayah tersebut.

Katanya, syarat digariskan dalam pelan tersebut nyata memberikan jaminan keamanan kepada Israel kerana Hamas perlu melucutkan senjata selain mengembalikan tawanan dan mayat rakyat Israel sebagai pertukaran dengan tebusan Palestin.

“Israel menerima dengan mudah setelah perundingan antara Trump dan (Perdana Menteri, Benjamin) Netanyahu. Tidak diketahui sama ada ia cadangan Netanyahu ataupun Trump.

“Cadangan dilakukan setelah Israel gagal mencapai matlamat operasi menawan Gaza dan ketenteraannya tidak berjaya menghapuskan Hamas.

“Sangat terang lagi bersuluh bahawa tawaran tersebut merupakan jaminan keselamatan percuma kepada Israel atau menyelamatkanya daripada kekalahan dengan cara Hamas menyerah kalah secara percuma,” katanya dalam tulisan Minda Presiden Pas, hari ini.

Beliau berkata, langkah sama pernah dilaksanakan pada 1948 apabila melihat kemaraan mujahidin kumpulan Islam terhadap tentera Israel yang gagal menawan Baitulmaqdis.

Tambahnya, keadaan sama berlaku ketika Israel dikalahkan oleh tentera Mesir dalam Perang Ramadan 1973 (Perang Yom Kippur) apabila mereka menggunakan gencatan senjata yang diikuti oleh beberapa perjanjian damai seperti Perjanjian Madrid 1991 dan Perjanjian Oslo 1993 serta penyelesaian dua negara.

Jelasnya, rundingan itu antaranya menyelamatkan sempadan kawasan yang pernah ditawan Israel pada Perang Enam Hari 1967 bersama Baitulmaqdis.

“Negara Islam dan Arab diminta melakukan normalisasi dengan mengiktiraf negara Israel, dalam keadaan tidak menghalang kemasukan pendatang Yahudi yang berduyun-duyun mendapat perlindungan tentera dan polis Israel ke kawasan rakyat Palestin yang dirampas rumah-rumahnya, termasuk dimusnahkan kedai, pasar raya dan kebun zaitun sejak ratusan tahun.

“Pada masa yang sama, Bait al-Maqdis diisytiharkan sebagai ibu negara Israel dan diterima oleh Amerika Syarikat dan beberapa negara sekutunya,” katanya.

Seterusnya, Abdul Hadi berkata, Gaza dicadangkan agar ditadbir oleh sekutu Amerika Syarikat dengan pelantikan mantan Perdana Menteri United Kingdom, Tony Blair menjadi ketua pentadbirannya, dengan Palestin dan wakil negara Arab dibolehkan sekadar menjadi petugas bawah arahannya.

Katanya, Hamas pula perlu dikeluarkan dari Gaza walaupun kumpulan itu telah memenangi Pilihan Raya Perundangan Palestin 2006 yang lalu.

“Ini menunjukkan negara yang sah kepada rakyat Palestin mengikut ayat suci demokrasi Barat, “Suara rakyat, suara Tuhan (vox populi vox dei)”. 

“Akan tetapi, hukumnya dinasakhkan (dibatalkan) kerana Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) disokong oleh Barat serta negara Arab dan Islam yang ada di bawah ketiaknya yang hangit dan busuk itu,” katanya.

Bekas Naib Presiden Kesatuan Ulama Sedunia itu berkata, kemenangan Hamas dalam operasi Taufan al-Aqsa sejak 7 Oktober 2023 menggegarkan Israel dan sekutunya, sehingga bala tentera Ahzab ditubuhkan semula oleh Amerika Syarikat bersama negara sekutu Zionis.

Sedangkan, katanya, pangkalan tentera mereka berselerak di negara-negara Arab dan Islam yang terdekat bersama pakatan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang besar untuk menghadapi Perang Dunia bila-bila masa.

“Maka, cadangan perdamaian Trump dan Israel ialah penipuan yang terbuka, laksana burung unta yang menyembunyikan kepala di dalam tanah, sedangkan badannya yang besar terbuka dengan nyata atau laksana menutup bangkai dengan tapak tangan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN