Kenaikan gaji hakim jaga integriti mahkamah

Kenaikan gaji hakim jaga integriti mahkamah

YAACOB MD. SAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semakan dan kenaikan gaji hakim sebanyak 30 peratus dilihat sebagai satu langkah positif diambil kerajaan bagi meningkatkan dan mengukuhkan lagi integriti badan kehakiman di Malaysia.

Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Yaacob Md. Sam berkata, semakan gaji hakim-hakim di Malaysia telah tertangguh sejak 10 tahun lalu apabila kali terakhir ia dilaksanakan adalah pada tahun 2015.

Katanya, semakan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2026 adalah wajar dengan keadaan semasa dan tanggungjawab serta beban kerja digalas golongan tersebut ketika ini.

“Tanggungjawab dan beban kerja para hakim kini bertambah dan sangat mencabar. Kadar gaji mereka yang setimpal dengan peranan digalas akan meletakkan golongan itu pada tahap setaraf dengan gaji dinikmati hakim di luar negara seperti Singapura, Indonesia dan lain-lain.

“Pada masa sama, ia juga dilihat sebagai satu langkah positif bagi mengukuhkan lagi integriti badan kehakiman di Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Yaacob yang kini merupakan Peguambela dan Peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya, berkata, semakan dan kenaikan gaji hakim itu juga adalah satu langkah bertanggungjawab kerajaan untuk menjaga kebajikan golongan itu memandangkan mereka tidak dibenarkan terlibat sebarang perniagaan atau aktiviti bagi menjana pendapatan sampingan.

Katanya, larangan itu adalah bagi menjaga integriti badan kehakiman supaya tidak berlaku konflik kepentingan.

“Perkhidmatan hakim ini tertakluk kepada Akta Saraan Hakim 1971 dan Etika Hakim yang melarang atau tidak membenarkan mereka terlibat dengan apa-apa perniagaan atau aktiviti luar pejabat yang menjana pendapatan sampingan lain.

“Larangan tersebut adalah bertujuan untuk memelihara integriti badan kehakiman dan memastikan hakim-hakim tidak terjebak dalam isu-isu ‘conflict of interest’ atau pertembungan kepentingan dan sebagainya.

“Ia juga bertujuan untuk memelihara tata kelakuan hakim-hakim yang luhur daripada menjadi tohmahan dan persepsi negatif yang boleh menjejaskan nama baik badan kehakiman dan sistem keadilan di negara ini,” katanya.

Jumaat lalu, Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat memaklumkan bahawa kerajaan akan menaikkan gaji hakim sebanyak 30 peratus selepas 10 tahun tidak berlaku sebarang semakan atau kenaikan.

Beliau berkata, antara lain, hal itu disebabkan golongan hakim tidak menerima kenaikan gaji tahunan seperti skim lain dalam kerajaan dan tidak dibenarkan memegang jawatan dan perniagaan.

“Atas kesedaran kita, juga sistem badan kehakiman yang pernah dianggap tercalar, tapi berbangga badan kehakiman sekarang ke arah lebih wibawa, lebih integriti dan bebas. Atas semangat itu, kerajaan bersetuju menaikkan gaji hakim sehingga 30 peratus mulai 1 Januari tahun depan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Datuk Seri Mohd. Hishamudin Yunus berkata kenaikan gaji hakim sebanyak 30 peratus menghapuskan segala persepsi negatif terhadap badan kehakiman selain memelihara integriti dan kebebasan golongan tersebut, malah tepat pada masanya selepas 10 tahun tidak dilakukan sebarang semakan.

Katanya, kali terakhir kenaikan adalah pada Julai 2025, jadi peningkatan sebanyak 30 peratus ini adalah wajar, tepat dan munasabah dari segi kuantum.

“Seseorang hakim itu perlu diberikan gaji yang wajar sesuai dengan kedudukan dan tanggungjawabnya yang berat.

“Gaji yang mencukupi juga perlu diberkan untuk memilihara integriti, kebebasan bebas dan untuk mengelakkan apa-apa persepsi negatif terhadap hakim,” katanya.

Mohd. Hishamuddin yang juga bekas Hakim Mahkamah Rayuan berkata, peningkatan gaji hakim juga membuka ruang untuk peguam-peguam berwibawa di negara untuk memohon menyertai badan kehakiman.

“Jika para hakim diberi gaji yang wajar ini akan menggalakkan peguam berkaliber dan terkemuka berminat untuk sertai badan kehakiman sebagai hakim.

“Ini akan meningkatkan kualiti hakim-hakim serta menaikkan martabat badan kehakiman negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN